Abdul Aziz Mohd Yusof

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan penguatkuasa agama dan nazir bagi sekolah Islam di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat siasatan segera terhadap semua rumah amal dan sekolah Islam yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dan rangkaiannya.

Langkah ini untuk memastikan tiada ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar disebarkan di rumah amal dan sekolah Islam tersebut.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, jika terdapat rumah amal dan sekolah Islam yang terlibat dengan ajaran menyeleweng daripada agama Islam, maka penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 hendaklah dibuat dengan kadar segera.

Selain itu, sekolah Islam yang telah dikenal pasti terlibat dengan kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam juga hendaklah dibatalkan pendaftarannya di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.

Abdul Aziz berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap dakwaan
penglibatan sekolah Islam di Selangor dalam kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam.

“MAIS juga memberi arahan tegas untuk memastikan sekolah Islam yang terlibat ditutup dan dibatalkan pendaftarannya sebagai sekolah Islam di Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan ini merujuk kepada laporan media berhubung dengan tangkapan dan siasatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas laporan kesalahan pengabaian serta penganaiayaan termasuk kesalahan seksual terhadap penghuni di 20 buah rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat GISBH.

Selain itu, kenyataan ini juga merujuk kepada penularan beberapa video yang dimuat naik di media sosial berhubung dengan dakwaan penglibatan GISB dan beberapa buah sekolah Islam di bawah rangkaiannya dalam penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam yang sebenar.

Berdasarkan video yang tular tersebut, GISBH dikaitkan dengan ajaran dan fahaman Kumpulan Al-Arqam yang telah pun diharamkan di Selangor melalui tiga fatwa yang masing-masing diwartakan pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 2 Disember 2006.

Pengharaman ajaran dan fahaman Al-Arqam menurut fatwa-fatwa tersebut adalah juga termasuk mana-mana cabang atau ajaran lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran dan fahaman kumpulan ini telah diharamkan itu.

Abdul Aziz turut menzahirkan sokongan yang padu terhadap usaha keras pihak polis yang bertindak atas laporan kesalahan pengabaian serta penganaiayaan termasuk kes seksual terhadap penghuni rumah amal yang ada kaitan dengan GISB.

“MAIS juga mengarahkan agar pihak JAIS berganding bahu dan bekerjasama dengan PDRM dan agensi penguatkuasaan lain untuk membanteras apa-apa kesalahan jenayah termasuk jenayah syariah yang berlaku di Selangor.

“Pada masa sama, MAIS menasihati semua umat Islam dalamnegeri Selangor supaya berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran atau fahaman yang mencurigakan.

“Masyarakat Islam juga hendaklah sentiasa cakna dengan ajaran atau fahaman yang telah difatwakan sebagai ajaran yang menyeleweng daripada Islam yang sebenar untuk mengelak daripada terjerumus atau terlibat dengan ajaran tersebut kerana ia merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” ujar beliau.

MAIS juga menyeru orang ramai untuk memberi maklumat kepada PDRM atau JAIS bagi memastikan siasatan yang terperinci berhubung dengan GISB dapat dilakukan dan tindakan penguatkuasaan dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here