Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berucap pada Majlis Muktamar semasa Ucapan dasar dan Perasmian Muktamar Pas Kali ke-70 di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

TEMERLOH – Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan Pas tidak sesekali berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam apa sahaja bentuk kerjasama.

Presiden Pas itu berkata, parti itu memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak eskstrem, iaitu kalangan yang tidak menghalang Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah.

Tegas beliau, Islam juga adalah penyelamat manusia di dunia dan akhirat serta wajib memimpin.

“Bagi menunaikan agenda politik Islam yang berpandukan hidayah, berhikmah, matang dan sejahtera, Pas tetap berpandukan al-Quran dan sunnah serta ijtihad melalui pengalamannya dengan memilih pendekatan demokrasi damai dan perpaduan umat.

“Pas akan terus istiqamah mengenali kalangan yang ikhlas menerima Islam adalah penyelesaian dan menolak kalangan yang telunjuknya lurus, tetapi kelengkengnya berkait.

“Bahkan, Pas tetap berdiri teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang sebenar,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas di Kompleks Al-Makmur, di sini, hari ini.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, peranan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) penting untuk meredah masuk ke dalam masyarakat bukan Islam yang menjadi sebahagian daripada masyarakat majmuk secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Jelas beliau, langkah itu antaranya melalui penglibatan dalam kerajaan negeri serta penonjolan tokoh dalam kalangan DHPP sendiri.

“Sekiranya agenda DAP yang salah ideologinya dan ciptaan makhluk asing boleh diterima oleh pelbagai kaum dengan propagandanya, mengapa Islam yang adil kepada semua tidak boleh disampaikan kepada semua?

“Maka tugas kita (ahli Pas) untuk mengulangi sejarah bahawa Islam diterima menjadi penyelamat semua manusia, bukannya penjajah,” kata beliau. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here