Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bercakap pada sidang media selepas Ucapan dasar dan Perasmian Muktamar Pas Kali ke-70 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

TEMERLOH – Pas menegaskan parti itu tiada hubungan langsung dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Malah, mereka yang terbabit dalam syarikat berkenaan sama sekali bukan ahli Pas, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

”Itu satu berita tak betul, tiada hubungan dengan kita (Pas) langsung, aibkan, bukan ahli kita, tiada kaitan dengan kita. Tentang kegiatan GISB itu perlu siasatan polis.

”Terpulang kepada mereka, polis siasat, kita tuggu siasatan polis,” katanya pada sidang media sejurus perasmian Muktamar Pas ke-70 di Kerdau, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai isu yang melanda GISBH, Abdul Hadi berkata, sebagai umat Islam mestilah berpihak kepada sesuatu yang benar walaupun difitnah oleh pelbagai pihak.

”Kita kena sedar Islam itu satu benda benar, yang terpelihara, berapa kali fitnah pada Islam ia selamat sejak zaman penjajah. Islam nak dikacau, penjajah, Islam selamat, yang lain hancur.

”Di negara blok komunis, Soviet Union hancur, Islam bangkit semula. Di Spanyol masjid dibakar dan dirampas Islam namun muncul semula di Eropah,” katanya.

Sementara itu Abdul Hadi beliau memberi jaminan bahawa sistem pendidikan di bawah kelolaan Pas terkawal dan tiada agenda seperti isu penyelewengan akidah oleh gerakan ajaran bertentangan Islam.

”Dalam Pas insya-Allah kita terkawal. Pentadbiran kita sendiri, pihak lain kita tak jaga lah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 20 premis rumah amal GISB di Selangor dan Negeri Sembilan digempur Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 11 September lalu dan seramai 392 kanak-kanak berjaya diselamatkan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here