Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah (kiri) dan calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar bergambar pada hari penamaan calon bagi Pilian Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Mahkota akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini pukul 10.15 pagi selepas calon BN dan PN itu menyerahkan borang pencalonan bagi PRK DUN Mahkota.

Azurawati ketika membuat pengumuman tersebut berkata, hanya calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, akan menentang calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang menyerahkan borang pencalonan.

“Syed Hussien Syed Abdullah menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9 pagi manakala Mohamad Haizan Jaafar pada pukul 9.05 pagi,” katanya ketika membuat pengumuman itu di pekarangan Pusat Penamaan Calon PRK DUN Mahkota di dewan berkenaan.

Penyerahan borang pencalonan PRK DUN Mahkota ditutup pukul 10 pagi tadi selepas dibuka bermula pukul 9 pagi.

Terdahulu, penyokong calon yang bertanding hadir ke pusat penamaan calon seawal pukul 7 pagi dan cuaca baik ketika proses penamaan berlangsung.

Calon yang terlibat mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen bagi meraih sokongan, iaitu sehingga 11.59 malam 27 September ini, diikuti hari pengundian pada 28 September manakala undi awal ditetapkan pada 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Sehubungan itu, SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian, dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu seramai 1,126 orang.

Pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here