Calon Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah (kiri) dan Mohamad Haizan Jaafar melambai kepada wartawan selepas menyerahkan borang penamaan calon bagi PRK Dun Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Penyerahan borang pencalonan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ditutup pukul 10 pagi selepas dibuka bermula pukul 9 pagi.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini.

Terdahulu, penyokong calon yang bertanding hadir ke pusat penamaan calon seawal pukul 7 pagi dan cuaca baik ketika proses penamaan berlangsung.

Calon yang terlibat mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen bagi meraih sokongan, iaitu sehingga 11.59 malam 27 September ini, diikuti hari pengundian pada 28 September manakala undi awal ditetapkan pada 24 September.

Barisan Nasional (BN) mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai wakil Kerajaan Perpaduan pada PRK itu, manakala Perikatan Nasional (PN) memilih bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Sehubungan itu, SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian, dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu seramai 1,126 orang.

Pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here