Nadzim Johan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa ratusan pelajar sebuah universiti di Raub, Pahang  tidak mendapat asrama sehingga menyukarkan mereka meneruskan pengajian di sana.

Menurutnya, perkara itu diadukan oleh ibu bapa penuntut institut pengajian tinggi terbabit selepas aduan dan rayuan kepada pihak universiti didakwa dibalas dengan memo ugutan.

Susulan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil maklum perkara ini dan pada masa sama menggesa pihak universiti terbabit lebih prihatin dengan kesusahan dihadapi pelajarnya.

“”Apakah pihak universiti lupa akan tanggung jawab mereka? Adakah mereka mengutamakan pengambilan semata tanpa memikirkan kebajikan pelajar?” soal Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan.

Nadzim berkata kumpulan pelajar dan ibu bapa yang membawa perkara itu ke PPIM mendakwa jumlah rumah sewa berdekatan kampus juga amat terhad, selain tiada  pengangkutan awam untuk ke kampus turut membelenggu mereka.

“Setiap pelajar perlu membayar sewa antara RM300 hingga RM500 seorang, tidak termasuk kos sara diri, pembelian barang keperluan lain seperti capaian internet dan pengangkutan yang boleh mencecah sehingga RM1,000 sebulan,” katanya.

Tambahnya, bantuan sara diri pelajar yang diterima pelajar hanya RM300-RM500 sebulan dan rata-rata mereka yang terkesan bukanlah dari keluarga yang berkemampuan.

Justeru, PPIM menyeru pihak universiti yang berkenaan untuk mempertimbangkan alternatif lain termasuk pengajian atas talian atau penukaran pelajar ke kampus yang mempunyai kapasiti asrama lebih besar.

Sehingga kini PPIM dimaklumkan hampir 500 orang pelajar universiti berkenaan masih belum mendapat tempat di asrama atau rumah sewa.

“Aduan dan rayuan kepada pihak universiti pula dibalas dengan memo ugutan tindakan tatatertib jika perkara ini sampai kepada pengetahuan media. Mereka tiada tempat untuk mengadu, bantulah mereka,” ujar beliau.

Baru-baru ini tular di media sosial keluhan ibu bapa pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub mengenai penempatan pelajar.

Kumpulan ibu bapa itu mendakwa universiti awam itu tidak prihatin tentang keperluan pelajar dan perkara itu bukan hanya berlaku di kampus di Pahang dan ia sudah berlarutan berpuluh-puluh tahun. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here