Seorang lelaki rugi RM80,000 selepas rumahnya di Jalan Lombong, Kota Tinggi dipecah masuk malam semalam

KOTA TINGGI – Seorang lelaki rugi RM80,000 selepas rumahnya di Jalan Lombong di sini dipecah masuk malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima satu laporan pecah rumah tersebut daripada mangsa iaitu lelaki tempatan pada pukul 10.34 malam.

Menurutnya, hasil siasatan pihaknya di tempat kejadian mendapati terdapat kesan umpil di  bahagian pintu belakang rumah mangsa.

“Terdapat barangan hilang seperti wang tunai dan barang kemas. Jumlah anggaran kerugian adalah RM80,000.

“Usaha mengesan cap jari berjaya ditimbulkan dan akan dihantar ke bahagian cap jari untuk perbandingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu katanya, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan.

Menurut beliau, orang ramai juga boleh menghubungi bilik gerakan ibu pejabat polis daerah kota tinggi di talian 07-8837222.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here