Penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam kali ke 19 (MAPPA XIX) 2024 di PICC, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 16 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR- Pegawai Awam berstatus tetap dan berpencen yang memilih opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bukan sahaja pencen kekal dan tidak terjejas, malah akan menerima pelarasan gaji.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini berkata, pegawai berstatus kontrak (Contract of Service), juga layak menerima pelarasan gaji di bawah SSPA.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan kesejahteraan dan kepuasan kerja semua pegawai awam, tidak kira status perjawatan,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, JPA menjelaskan, pegawai awam berstatus tetap dan berpencen yang tidak memilih opsyen SSPA kerana ingin kekal di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) masih boleh berkhidmat seperti biasa.

Katanya, perkhidmatan dan pencen mereka tidak akan terjejas.

Bagaimanapun, golongan itu tidak akan menikmati pelarasan gaji seperti pegawai awam di bawah SSPA.

“Sebagai langkah tambahan, Sesi Libat Urus (SLU) juga akan diadakan bagi memberikan penjelasan yang lebih mendalam mengenai pemilihan opsyen SSPA ini,” katanya.

Sesi pertama dijadualkan berlangsung pada hari Selasa bersamaan 17 September 2024 dan diikuti dengan siri jelajah yang meliputi setiap Kementerian dan Jabatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Penerangan secara dalam talian juga akan diadakan.

Dengan itu, JPA menjemput semua pegawai awam termasuk yang berstatus kontrak untuk menghadiri sesi tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menjelaskan sebarang pertanyaan yang mungkin timbul.

FB Live JPA bertajuk SSPA: Pencen kekal juga akan diadakan pada 19 September ini selama satu jam bermula 10 pagi untuk pencerahan bersama.

“JPA komited untuk memastikan kesejahteraan Pegawai Awam terjamin dan berharap SLU ini akan memberi manfaat yang jelas kepada semua pihak,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pekeliling SSPA boleh diakses mulai hari ini

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here