Kemalangan di lebuh raya PLUS arah selatan, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Tiga individu cedera dalam nahas membabitkan sebuah lori dan dua treler di kilometer 420.2 Lebuhraya Utara Selatan, di Hulu Selangor, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan tiga buah kenderaan itu pada jam 7.05 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati, pemandu treler berusia 57 tahun datang dari Utara menghala ke Selatan mahu menghantar barang di Johor.

“Semasa lelaki itu sedang memandu, kemudian sebuah treler lain melanggar belakang kenderaan tersebut.

“Akibat kejadian itu, sebuah lagi lori didapati gagal mengawal kenderaan kemudian telah melanggar belakang treler berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Asri, berikutan kemalangan itu kesemua pemandu terbabit cedera di kepala dan badan serta patah tulang rusuk.

“Semakan lanjut, kesemua pemandu berusia 21 hingga 57 tahun itu telah di bawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu boleh tampil membantu siasatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here