E waste dari enam kilang proses sisa elektronik secara haram di Pandamaran Klang digempur PDRM 12 September lalu.Ihsan KDNKA Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Aktiviti enam premis kilang yang telah disyaki terlibat dalam aktiviti pemprosesan sisa elektronik atau e-waste secara haram di Kawasan Pandamaran Klang, Selangor diserbu pihak berkuasa pada 12 September lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya mendapat terdapat pelbagai kesalahan dilakukan termasuk kegagalan mengemukakan dokumen yang sah untuk menjalankan aktiviti pemprosesan di kawasan berkenaan.

“Dalam operasi sama, pasukan serbuan telah menahan dan memeriksa enam warga tempatan dan 43 warga asing berusia lingkungan 22 hingga 60 tahun manakala soal siasat lanjut mendedahkan bahawa warga tempatan itu dipercayai berperanan sebagai penyelaras serta koordinator yang mengambil keuntungan hasil daripada aktiviti haram yang dijalankan itu.

E waste dari enam kilang proses sisa elektronik secara haram di Pandamaran Klang digempur PDRM 12 September lalu.Ihsan KDNKA Bukit Aman

“Keenam-enam kilang yang beroperasi tanpa lessen dan tidak berdaftar secara sah itu didapati telah mengaut keuntungan jutaan ringgit menerusi pemprosesan sisa elektronik secara haram dan dikesan menggajikan warga asing sebagai pekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Yusoff, pelupusan e-waste dan sisa plastik secara haram mengandungi bahan toksik yang boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan yang serius kepada orang ramai yang terdedah dengan pencemaran ini.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas  semua kilang haram yang diserbu itu membawa kepada penemuan bahan elektrik dan elektronik yang dikategorikan sebagai e-waste untuk dikitar semula dan diproses untuk mendapatkan logam–logam berharga seperti tembaga, besi dan timah.

Katanya, pasukan serbuan turut menyita barangan sisa e-waste di enam kilang haram itu dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM41.58 juta (RM41,588,501).

“Antara sisa yang dirampas menerusi operasi berkenaan adalah 2,800 kilogram keluli stainless; 83,700 kg aluminium; 6,000 kg besi; 6,000 kg besi pepejal; 10,500 kg kotak Unit Pemprosesan Pusat (CPU); 3,000 kg bateri; 37,000 kg tembaga; 30,000 kg plastik; 103,000 kg kabel diproses; 50 buah mesin memproses bahan e-waste; 14 buah jentera pengangkut; lima buah kontena; dan dokumen, invois dan resit atas nama setiap syarikat berkenaan,” ujarnya.

Menurut Mohd Yusoff, kesemua tahanan dan barang rampasan disiasat di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (Majlis Perbandaran Klang) 2007, Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Selain itu, katanya, warga asing yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 18, 25, 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurut beliau, pihak MBDK elah mengeluarkan kompaun untuk kesalahan di bawah undang-undang kecil perlesenan tred, perniagaan dan perindustrian kerana kesalahan menjalankan aktiviti memproses tanpa lesen.

Suspek yang ditahan bersama barang rampasan hidupan liar di Taman Gasing Indah, Kuala Lumpur 10 September lalu.Ihsan KDNKA Bukit Aman

Sementara itu, Mohd Yusoff memberitahu, JKDNKA dengan kerjasama pihak urus setia KPN (Lesen Senjata Api) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah menjalankan Op Bersepadu Khazanah pada 10 September lalu di Taman Gasing Indah, ibu negara dalam usaha membendung aktiviti pemburuan haram dan penyimpanan hidupan liar.

Kata beliau, pasukan serbuan menahan seorang lelaki serta merampas seekor pig-nosed tortoise, satu gading, lima buah sangkar burung, satu pemegang sangkar yang disyaki gading gajah, dua gading gajah yang telah diukir, selaras senapang angin, dua pucuk pistol angin dan satu bekas pellet 177 cal dengan nilai keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM269,720.

beberapa pucuk pistol yang turut dirampas daripada suspek yang ditahan bersama rampasanbarang dan hidupan liar dalam operasi di Taman Gasing Indah, Kuala Lumpur 10 September lalu. KDNKA Bukit Aman

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here