KUALA LUMPUR- Persidangan Konsesi Lebuh Raya 2024 (HCC 2024) yang akan diadakan pada 17 hingga 19 September ini di Johor Bahru, Johor dijangka mampu memberi manfaat luar biasa kepada industri lebuh raya dan semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, syarikat konsesi, pengurus lebuh raya, pakar teknikal dan pengguna.
Ketua Pengarah Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Sazali Harun berkata, ia juga bakal menjadi platform penting untuk memperkenalkan inovasi dalam perkhidmatan lebuh raya.
Bertemakan Revitalisasi Lebuh Raya: Menyeimbangkan Kejuruteraan, Sosial dan Alam Sekitar Secara Inovatif, HCC 2024 bakal dihadiri profesional daripada pelbagai sektor termasuk pembuat dasar, jurutera dari pelbagai disiplin, aktivis alam sekitar, dan individu yang berdedikasi untuk memandu trajektori infrastruktur lebuh raya Malaysia.
Menurut beliau, para peserta dapat mempelajari teknologi baharu dan amalan terbaik yang sedang diterapkan di peringkat global terutama dengan penekanan terhadap teknologi seperti Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), dan sistem pengurusan data yang canggih.
“Dengan input daripada pelbagai pihak yang berpengalaman, persidangan ini dapat membantu merumuskan pendekatan baharu yang lebih komprehensif dan berdaya tahan untuk menangani cabaran-cabaran ini, sekaligus memastikan industri ini terus relevan dan mapan dalam jangka masa panjang.
“Yang paling penting, persidangan ini akan menggalakkan amalan mampan atau sustainabiliti dalam industri lebuh raya.
“Aspek sustainabiliti ini tidak hanya merangkumi kecekapan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon dalam operasi lebuh raya, tetapi juga menekankan kepentingan menjaga keseimbangan antara pembangunan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu temubual bertulis dengan MalaysiaGazette di sini.
Tambah Sazali, persidangan itu juga bakal membuka ruang perbincangan kepada peserta untuk merungkai isu-isu seperti pembiayaan projek lebuh raya yang semakin kompleks, perubahan landskap ekonomi serta cabaran operasi dan penyelenggaraan lebuh raya bertol.
Katanya, melalui kolaborasi antara kerajaan, syarikat konsesi, dan pihak berkepentingan lain, penyelesaian inovatif dan lestari dapat dirumuskan untuk menangani cabaran-cabaran tersebut, seterusnya memacu kemajuan sektor lebuh raya di Malaysia.
Menurut Sazali, HCC 2024 akan menampilkan beberapa nama besar dalam industri di peringkat tempatan dan antarabangsa antaranya Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Yosuke Tanaka; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Malaysia, Datuk Seri Idris Jala.
Turut terlibat, Pengarah, Ketua Global Bridge, Arup Grup, Prof Naeem Hussain; Pengarah, Wawasan Perniagaan & Analisis, Datamicron System Sdn Bhd., Dr Ahmad Fazreen Baharuden dan Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Tambah beliau, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Azman Ibrahim akan menyampaikan ucaptama dalam program itu nanti.
Menurut Sazali, HCC 2024 menampilkan elemen berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan memberi peluang kepada pengeluar dan pembekal produk serta perkhidmatan untuk sama-sama menjayakan persidangan itu.
”Dua elemen baharu yang kita telah aturkan dalam program pada kali ini adalah pameran teknologi lebuh raya dan lawatan teknikal.
”LLM telah menjemput 15 buah syarikat pembekal teknologi /perkhidmatan untuk bersama-sama menjayakan program pada kali ini.
Bagi aktiviti pameran teknologi, pempamer dapat mempamer dan memperkenalkan produk atau teknologi baharu di dalam pasaran.
Kedua-dua pihak akan mendapat manfaat yang sangat baik iaitu para peserta dapat melihat sendiri teknologi atau produk baharu yang ada di pasaran di samping para pembekal atau pengeluar produk dapat meluaskan jaringan perniagaan mereka di dalam industri ini,” katanya.
Manakala bagi sesi lawatan teknikal pula menurut beliau, terdapat dua syarikat perkhidmatan bakal menjadi hos bersama bagi sesi lawatan teknikal di YTL Green Data Centre dan Rapid Transit System Link Johor Bahru – Singapore.- MalaysiaGazette