Anggota Jabatan Amal Malaysia memainkan tanggungjawab yang besar dalam memastikan Muktamar Pas kali ke-70 berjalan dengan lancar

TEMERLOH – Tahun ini merupakan kali ke -35 Jabatan Amal Malaysia membantu menjayakan pergerakan acara tahunan Muktamar Pas sejak ia ditubuhkan.

Timbalan Ketua Pegawai Tadbir Jabatan Amal Malaysia Mohd Aidil Firdaus Nohamad Nasir berkata kali ini seramai 360 orang pasukan kebajikan itu berkhidmat secara sukarela selama muktamar berlangsung bermula 11 hingga 15 September,

Sumbangan tenaga itu merupakan komitmen badan beruniform itu dalam memperjuangkan parti bagi memastikan majlis yang dijayakan di dua lokasi melibatkan daerah Temerloh dan Jerantut.

”Sebanyak empat kor ditugaskan dalam menjayakan majlis muktamar tahun ini merangkumi pasukan perubatan, trafik, semboyan dan tugas-tugas khas untuk penugasan awam serta perjalanan program.

”Mereka ini dibahagikan kepada empat syif berkorban masa secara sukarela, ada yang tidur dalam kereta dan dalam masjid sementara bersedia jika ada sebarang tugasan kecemasan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selain itu ujar Firdaus pasukan Amal Respons Team juga ditempatkan bagi menangani sebarang insiden kecemasan seperti kebakaran dan kemalangan.

Suasana para perwakilan yang hadir pada Perasmian Pra Muktamar Dewan Pemuda PAS ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

Tambahnya antara cabaran memastikan keselamatan jemputan dan pengurusan di kawasan  program Muktamar Pas kali ke-70 berjalan seperti mengikut dijadualkan.

”Pengalaman tahun ini ada insiden ular di kawasan berhampiran kerana terletak di kawasan paya. Namun pasukan berjaya mengalihkan haiwan berkenaan dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

”Selain itu ada beberapa perwakilan yang memang ada sejarah masalah kesihatan seperti kencing manis menerima rawatan biasa di pusat medik yang dikendalikan oleh kor medik dan penyelamat.” katanya.

Jabatan Amal yang mula digerakkan seawal tahun 1989  merupakan salah satu jabatan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia yang aktif melakukan aktiviti- sukarelawan dan kebajikan.

Sehingga kini lebih 5,000 anggota berdaftar di bawah Jabatan Amal  namun yang masih aktif hampir 1,000 orang.

”Walaupun kami tidak menerima sebarang elaun namun kadang-kala kami ada menerima sumbangan daripada orang ramai. Bagaimanapun ada di kalangan kami keluar duit belanja sendiri termasuk uniform.

”Kami memang dididik dan ditarbiah oleh kempimpinan supaya sentiasa memikirkan apa yang dapat disumbangkan kepada parti dalam perjuangan contohnya memberi khidmat bakti kerja kebajikan seperti ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here