Zuraimy Ali

KUALA LUMPUR – Isu membabitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) perlu ditangani segera untuk menggelakkan wujudnya persepsi masyarakat terhadap keupayaan pihak berkuasa dalam menyelesaikan masalah itu.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perlis, Dr Zuraimy Ali berkata, tindakan tegas perlu dikenakan kepada mereka yang mengambil kesempatan dan meracuni pemikiran orang ramai dengan dakyah songsang.

“Hal ini kerana sentimen agama sering kali menjadi ‘pengikat’ kepada pengikut yang taksub kepada pimpinan agama.

“Sebelum ini, pihak JAKIM dan pihak berkuasa agama telahpun mengeluarkan senarai gerakan ajaran sesat namun masih ada lagi yang beroperasi bahkan berleluasa kerana telah bergerak secara sulit di media sosial sehingga gagal dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Tindakan pantas akan dapat menyelamatkan ramai umat Islam daripada terpesong untuk memahami Islam dengan baik dan pengaruh pimpinan yang menjadikan agama sebagai modal keuntungan, ujarnya.

“Kerajaan Perpaduan sewajarnya perlu bertindak tegas mengenal pasti jika terdapat mana-mana ‘penunggang agama’ mahupun organisasi yang mencemarkan kesucian Islam dibanteras sehingga ke akar umbi. 

“Jika dibiarkan dan tidak diambil tindakan undang-undang dibimbangi akan muncul lebih banyak gerakan mahupun organisasi yang menunggang atas nama agama,” tambahnya.

Respons segera daripada pihak kerajaan penting untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat bahawa apa sahaja elemen yang menggugat kesucian Islam perlu dinoktahkan segera.

Sebelum ini, muncul dakwaan terhadap GISB yang dikaitkan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa, antaranya mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan.

Pada Rabu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dibawah pengurusan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here