SERDANG – Pavilion Johor yang menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) mensasarkan lebih 100,000 pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, beliau optimis sasaran tersebut mampu dicapai.
Katanya, beliau kagum apabila dimaklumkan bahawa Pavilion Johor mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung di MAHA 2024, malah terdapat pengunjung kembali untuk kali kedua.
“Kita bukan sahaja sangat optimis mencapai sasaran 100,000 pengunjung itu tetapi juga diyakini jumlah kehadiran pengunjung ke Pavilion Johor mampu menjangkaui sasaran itu kali ini.
“Kalau lihat pada jumlah kehadiran pengunjung pada tiga hari pertama sahaja sudah mencecah 36,000 orang, maka kami yakin sasaran 100,000 pengunjung yang disasarkan mampu dilepasi di penghujung pameran MAHA nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz merasmikan Pavilion Johor di MAGA 2024, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zahari berkata, pihaknya berjaya memastikan Pavilion Johor menjadi tarikan dan tumpuan utama pengunjung MAHA 2024 menerusi pengubahsuaian semula kedudukan dan reka bentuk serta landskap luaran Pavilion Johor supaya ia lebih menarik.
“Keduanya, kami meletakkan pencahayaan pada waktu malam untuk menarik minat orang ramai yang saya rasa satu lagi faktor yang mendorong sambutan luar biasa pengunjung ke pavilion kami.
“Selain itu, kita juga menyajikan pelbagai pameran sama ada sektor pertanian, ternakan, perikanan dan uga teknologi pertanian baharu serta pintar oleh pempamer kami dari Johor.
“Misalnya, dalam sektor pertanian Johor, ada banyak teknologi baharu diperkenalkan, termasuk ternakan ikan, menunjukkan teknologi pengasingan kerang selain jualan produk pertanian serta makanan Johor di MAHA kali ini,” ujarnya.
Ditanya mengenai sasaran jualan, Zahari berkata, mensasarkan jualan melebihi RM80,000 berbanding RM71,000 pada tahun lepas. – MalaysiaGazette