Ahmad Fadhli Shaari.

TEMERLOH – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa parti-parti pembangkang akan dikenakan ‘shadow banned’ secara besar-besaran terhadap platform media sosial masing-masing oleh kerajaan sebagai taktik terakhir menjelang pilihan raya.

Beliau mendakwa, langkah itu akan diambil kerajaan secara berskala besar menerusi platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan WhatsApp.

“Selepas ini tolong imbas kod QR kita (Pas) dan kemas kini perkembangan yang ada. Untuk apa kalau kita bergantung pada medium-medium seperti Facebook, TikTok dan sebagainya. Kita akan berpotensi akan dikenakan ‘shadow banned’.

“Jadi, saya nak ingatkan bahawa strategi terakhir yang ada pada kerajaan hari ini khususnya menjelang pilihan raya sedikit masa lagi ialah mereka akan mengenakan shadow banned secara besar-besaran kepada platform TikTok, Facebook dan WhatsApp,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini, hari ini.

Shadow banned merujuk situasi di mana status, komen atau aktiviti tidak muncul atau tidak dapat dilihat di media sosial tetapi masih belum menerima notifikasi larangan rasmi.

Terdahulu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas meminta perwakilan yang hadir dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat itu untuk mengimbas kod QR saluran rasmi WhatsApp Pas bagi membolehkan mereka memperoleh maklumat, perkembangan dan aktiviti terkini parti itu.

Beliau sedar masih ada ahli Pas yang tidak cakna akan perkembangan terkini parti termasuk dalam isu membabitkan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok apabila membangkitkan isu penggunaan pensijilan halal.

“Kadang-kadang bila kita bersuara tentang satu isu, ada yang kata mana suara Pas. Pas tak bercakap pun soal isu ini, isu Teresa Kok dan halal. Ramai ahli Pas yang WhatsApp saya mana suara Pas.

“Pemuda Pas telah pun buat laporan seluruh negara dan kita amanahkan pemuda dan ketua pemuda kawasan di negeri-negeri seluruh negara untuk membuat laporan polis isu halal melibatkan Teresa Kok.

“Tiba-tba Ketua Pemuda UUMNO (Akmal Saleh) bersuara dan ahli tanya saya, mana suara Pas. Sebab apa. Sebab anda sendiri tidak mendapat perkembangan semasa tentang aktiviti Pas. Jadi selepas ini, tolong imbas kod QR kita ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here