Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus

RAWANG – Seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun berhadapan detik cemas apabila cuba dilarikan seorang wanita warga tempatan di Bukit Beruntung, di sini, kelmarin.

Murid tahun tiga itu sedang menunggu van sekolah di bawah blok rumahnya ketika kejadian berlaku.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Polis Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada ibu kepada kanak-kanak itu pada jam 8.56 malam, hari yang sama.

“Percubaan itu gagal apabila kanak-kanak tersebut berjaya melarikan diri ke kedai berhampiran sambil menjerit meminta pertolongan.

“Saksi awam yang berada di  situ telah berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

“Walaubagaimanapun, suspek wanita itu telah berjaya melarikan diri daripada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 362 KK dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Kami menasihati khususnya para ibu bapa untuk sentiasa peka terhadap keselamatan anak-anak dan tidak meninggalkan sebarang ruang atau peluang untuk penjenayah melakukan percubaan menculik.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh hadir ke balai polis berhampiran atau hubungi kami di talian 03-60641223,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here