Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tumpuan kepada siasatan terhadap serbuan 20 rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) di Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, fokus utama polis buatadalah menyelesaikan kes tersebut sebelum memutuskan untuk memanggil pihak lain bagi membantu siasatan.

“Kita akan selesaikan siasatan yang ini dulu (serbuan, tangkapan 20 rumah amal), apabila ia sudah selesai barulah kita akan fikirkan (panggil pihak lain untuk membantu siasatan),” katanya selepas dihubungi pada hari ini.

Razarudin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali yang mengakui bahawa berlakunya beberapa kes liwat membabitkan individu dalam organisasi tersebut.

Bagaimanapun, jelas Nasirudin, kejadian itu cuma satu atau dua kes sahaja.

Menurut Nasiruddin, dakwaan berhubung isu tersebut disifatkan sebagai tidak berasas kerana tidak mempunyai bukti.

Pada Rabu lepas, Razarudin mengesahkan seramai 402 kanak-kanak diselamatkan menerusi serbuan yang dilancarkan ke atas 20 rumah amal dikaitkan dengan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Razarudin berkata, sebanyak 483 rakaman percakapan diambil oleh pihaknya membabitkan pengadu, saksi, suspek dan mangsa bagi membantu siasatan sehingga semalam.

“Pada masa yang sama sehingga Sabtu (semalam) seramai 384 kanak-kanak yang telah diselamatkan dari rumah amal itu telah selesai menjalani ujian saringan kesihatan yang diadakan polis dengan kerjasama KKM.

“Hasil dapatan ujian saringan itu menunjukkan terdapatnya ciri-ciri pengabaian dan penganaiyaan ke atas mereka di rumah amal itu,” ujarnya.

Ditanya sama ada ibu bapa mangsa yang diselamatkan itu akan dipanggil membantu siasatan, Razarudin berkata, mereka akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan.

Katanya, usaha untuk mengesan keberadaan mereka sedang giat dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast