ARKIB Murid-murid Darjah 6 beratur menuju ke dewan peperiksaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2017

SHAH ALAM- Dasar pendidikan negara yang ketika ini tidak melaksanakan peperiksaan bagi Tahun 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 3 di sekolah menengah perlu dirombak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia selepas mendapati keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) tahun lepas, berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3M).

Ahmad Zahid berkata dapatan itu, diperoleh hasil perbincangan bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, sebelum ini.

Ekoran itu, wajib dasar pendidikan yang tidak ada peperiksaan untuk Darjah 6 (di sekolah rendah) dan Tingkatan 3 (sekolah menengah) dan hanya ada (peperiksaan) Tingkatan 5 mesti dirombak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-78 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun 6 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) diumum dimansuhkan sepenuhnya pada 2022 oleh Menteri Kanan Pendidikan ketika itu Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, dan digantikan dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul, manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ahmad Zahid berkata seharusnya dasar pendidikan kekal dan tidak berubah walaupun berlaku pertukaran kerajaan dan kepimpinan, supaya pelajar dan anak murid tidak dijadikan sebagai bahan uji kaji.

“Biar kerajaan dan pemimpin bertukar tetapi dasar pendidikan kebangsaan mestilah dibuat agar anak kita tidak menjadi mangsa,” katanya.

Terdahulu, Vigneswaran dalam ucapannya memohon kerajaan untuk mencari jalan bagi memulihkan semula imej sistem pendidikan negara, susulan ramai pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi.

Beliau berkata isu keciciran pelajar yang tidak mendaftar dan menduduki SPM, turut mencetuskan kebimbangan, dalam usaha negara berinspirasi mencapai status negara maju, katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast