Ahmad Fadhli Shaari

TEMERLOH – Seorang pemimpin Pas mendakwa terma-terma perjanjian yang terkandung di dalam draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Peruntukan Pembangkang dikemukakan kerajaan sebagai sangat bahaya kepada kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, keputusan penolakan MoU itu merupakan langkah tepat demi menjamin kedudukan agama Islam dan hak-hak istimewa Bumiputera.

“Di dalam memorandum tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hendaklah memperakui bahawa hak-hak sama rata semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Tiada sebarang jaminan dinyatakan terhadap kedudukan agama Islam dan hak-hak Bumiputera di dalam memorandum tersebut menjadikan ia perkara yang berada dalam kedudukan yang samar dan boleh ditafsirkan dengan pemahaman yang salah.

“Bukankah Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan mengatasi agama-agama yang lain?

“Bukankah Perlembagaan yang sama juga menjamin hak-hak Bumiputera, maka apakah maksud dari terma perjanjian yang ‘memaksa’ Perikatan Nasional memperakui hak-hak sama rata tanpa mengira agama dan bangsa?

“Tidakkah cukup dengan hanya meminta semua pihak menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen yang dipersetujui bersama? Atau Pakatan Harapan sedang membawa ICERD dalam bentuk baru?” soal beliau menerusi kenyataan yang dikongsikan kepada media dalam group Whatsapp Muktamar Pas Tahunan, hari ini.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, MoU itu belum lagi dinyatakan berkenaan ‘paksaan’ kepada ahl-ahli Parlimen pembangkang untuk tidak membuat ‘bangkangan yang sia-sia’ di dalam Parlimen.

“Siapakah yang akan membuat defisini ‘sia-sia’ itu? Jika tidak boleh membuat bangkangan.maka apa lagi tugas seorang ahli parlimen?

“Untuk menjadi ‘rubber stamp’ kepada kerajaan? katanya.

Justeru, Ahmad Fadhli berkata, pembangkang tidak akan tunduk dengan kejahatan dan kezaliman yang diterima mereka.

“Biar mati berkalang tanah, dari hidup bercermin bangkai,” ujarnya.

Terdahulu hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi kenyataan berkata, Perikatan Nasioanal (PN) membuat ketetapan sebulat suara menolak mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Katanya, penolakan itu dilakukan kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengokong kebebasan.

Katanya, bebarapa syarat yang dikenakan dalam MoU itu dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Malah katanya, PN telah menerima dua set draf cadangan MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN yang mana kedua-dua draf cadangan MoU tersebut adalah antara kerajaan Malaysia dan parti PN serta antara kerajaan Malaysia dengan kesemua ahli Parlimen PN.

Menurut Hazmah lagi, draf MoU tersebut juga mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, nilai budaya, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here