Tangkap layar dari video tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak dera mengadu kesakitan selepas dikasari seorang individu.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan lanjut berhubung video tular yang memaparkan kekasaran terhadap seorang kanak-kanak yang dipercayai penghuni rumah amal milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya percaya banyak lagi kes penderaan berlaku melibatkan kanak-kanak yang menghuni rumah amal terbabit.

Beliau turut mendedahkan, kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam serbuan Op Global di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini, mengalami pelbagai jenis penderaan.

“Banyak lagi penderaan yang kita (polis) percaya berlaku melibatkan kanak-kanak ini, polis akan buat laporan berkaitan bagi memulakan siasatan kami dengan kadar segera dalam kes ini.

“Kita akan siasat kanak-kanak yang menjadi mangsa ini dan saya juga meminta pegawai jawatankuasa yang ditubuhkan berkaitan perkara ini untuk turut menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak mengadu kesakitan ketika diperlakukan dengan kasar oleh seorang individu.

Video berkenaan didakwa berlaku di rumah amal yang terlibat dalam Op Global baru-baru ini.

Pada 11 September lalu, Razarudin memaklumkan, polis telah menyelamatkan 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISBH.

Bagaimanapun, 10 daripada 402 kanak-kanak terbabit adalah terdiri daripada kanak-kanak autistik, Orang Kurang Upaya (OKU) dan sakit telah diserahkan di bawah seliaan Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam operasi sama, PDRM turut membuat tangkapan ke atas 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Dalam perkembangan pada Jumaat lepas, Razarudin juga menegaskan bahawa hasil ujian saringan kesihatan ke atas13 kanak-kanak terbabit mendedahkan mereka telah diliwat di premis tersebut.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here