Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar bercakap pada media berkenaan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Bekas pengikut‘Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) akan dipanggil bagi membantu siasatan dan kajian terhadap doktrin fahaman kumpulan terbabit dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, siasatan itu akan dijalankan jawatankuasa khas di bawah seliaan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Jawatankuasa (khas) yang dibentuk di bawah saya ini, akan selesaikan dan muktamadkan kajian berkaitan dengan GISBH.

“Nanti kita akan panggil bekas ahli GISB untuk kita dapatkan maklumat yang sebenarnya,” katanya selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohd Na’im dilaporkan berkata, isu berkaitan GISBH akan dirujuk ke Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Jelasnya, bagaimanapun perkara itu akan dibawa ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terlebih dahulu bagi memutuskan persoalan berkaitan akidah.

Sehubungan itu, Mohd Na’im memaklumkan, status GISBH sama ada difatwakan sesat atau sebaliknya, akan dibincangkan di peringkat MKI.

Berhubung keadaan wanita dan kanak-kanak diselamatkan polis dalam beberapa serbuan di rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH, Mohd Na’im berkata, pihaknya sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan saya akan berkomunikasi dengan Ketua Polis Negara untuk melihat aspek kebajikan mereka kerana ini keutamaan kami beri kepada mereka.

“Malah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,) Datuk Seri Nancy Shukri pula akan lihat bagaimana kita nak pastikan mereka ini terbela dari aspek kebajikan, pendidikan dan hala tuju dapat ditentukan,” jelasnya.

Pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi diselamatkan pihak berkuasa menerusi ‘Op Global’.

Hasil serbuan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan, berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.

Seramai 10 daripada 402 kanak-kanak yang merupakan kanak-kanak autistik, Orang Kurang Upaya (OKU) dan sakit telah diserahkan kepada JKM.

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here