Ka Siong dan Syed Hussien bertemu orang ramai ketika berkempen di Cawan Mas Cafe, Kluang, hari ini

KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mempunyai semua pakej lengkap sebagai wakil rakyat yang dimahukan pengundi.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, mempunyai ciri-ciri kemalaysiaan terutama dalam menarik sokongan pengundi Cina di DUN Mahkota.

“Pengundi Cina, pertamanya lebih melihat kepada ketokohan, kedua daripada segi bahasa tiada kekangan langsung (Syed Hussien boleh berbahasa Mandarin).

“Ketiga beliau faham budaya dan pernah jadi ahli majlis (Ahli Majlis Perbandaran Kluang) dan belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), jadi tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membantu Syed Hussien berkempen di Cawan Mas Café di sini hari ini.

Ka Siong berkata, Syed Hussien mampu menawan hati pengundi kerana mempunyai perwatakan yang rendah diri dan boleh berdamping dengan semua masyarakat sama ada Melayu, India atau Cina.

“Ini adalah calon berwibawa yang mempunyai wajah tampan dan saya nampak kelebihan sebagai seorang yang mempunyai perwatakan agak unik,” ujar beliau.

Ditanya kemungkinan masyarakat Cina yang tidak keluar mengundi pada PRK DUN Mahkota 28 September ini, beliau berkata, jentera MCA akan memastikan seberapa ramai keluar mengundi nanti.

Tambahnya, itu merupakan cabaran dihadapi jentera untuk membawa bukan sahaja pengundi Cina tetapi juga Melayu dan India untuk keluar mengundi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here