Tengku Zafrul (dua belakang) dan Syed Hussien (tengah belakang) selepas merasmikan Program Ziarah Kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu, Kluang hari ini.

KLUANG – Pengalaman calon Barisan Nasional (BN) yang sudah lama berkhidmat dengan komuniti akan membantunya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, itu merupakan kelebihan Syed Hussien Syed Abdullah yang  menjadi calon mewakili Kerajaan Perpaduan.

Beliau percaya, Syed Hussien yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang mampu memberi khidmat yang baik kepada pengundi di DUN Mahkota.

“Kalau melihat kepada latar belakang calon, saya yakin Syed Hussien sudah lama berkhidmat dalam komuniti di sini.

“Yang penting seperti mana disebut oleh penduduk di DUN Mahkota, kita nak calon yang boleh berkhidmat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Ziarah Kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu di sini hari ini.

Pillihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.

Sementara itu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengadakan sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengusaha di DUN Mahkota bagi mendengar masalah penduduk.

“Pada sesi itu, saya mendengar luahan serta perkara yang dibangkitkan dan saya akan menyampaikan kepada calon kita untuk diberi perhatian,” katanya.

Menurutnya, beliau turut melontarkan persoalan sama ada Syed Hussien merupakan calon yang akan diterima penduduk DUN Mahkota.

“Majoriti mengatakan calon yang penting ialah calon yang ada kapasiti untuk membantu rakyat di sini.

“Yang dimaksudkan kapasti ialah seorang yang faham isu di sini, dia bukan ‘stranger’ dan masih muda. Saya dapati ramai yang mengatakan dia calon yang terbaik,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here