Pasport rosak akibat diconteng. FOTO Jabatan Imigresen Kedah

KUALA LUMPUR- Orang ramai dinasihatkan membuat semakan status perjalanan sebelum merancang ke luar negara bagi memastikan mereka tidak terkandas di sempadan di saat-saat akhir.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd Zain berkata, semakan boleh dibuat di portal Sistem Semakan Status Perjalanan Imigresen (SSPI) dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan.

Katanya, terdapat rakyat Malaysia gagal melepasi sempadan negara berikutan pelbagai masalah termasuk tunggakan cukai dan isu kastam.

Buat semakan portal Sistem Semakan Status Perjalanan Imigresen (SSPI) sebelum rancang perjalanan ke luar negara.

“Terdapat 20 kes berkaitan tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negara, sembilan kes melibatkan kastam dan 10 kes pasport rosak.

“Ini termasuk pasport koyak, terkena air, hilang muka surat dan contengan oleh kanak-kanak.

“Kesemua isu ini menyebabkan perjalanan rentas sempadan menjadi lebih mencabar kepada mereka yang terlibat.

“Untuk elak kekecewaan di saat akhir, kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyemak status perjalanan mereka di  sebelum membuat sebarang perancangan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, semasa musim cuti, semakan awal status perjalanan menjadi langkah penting bagi memastikan percutian yang dirancang tidak terganggu oleh perkara-perkara yang boleh dielakkan.

“Jangan biarkan percutian impian bertukar menjadi mimpi ngeri hanya kerana halangan yang sebenarnya boleh diselesaikan lebih awal,” katanya lagi.

Maklumat lebih lanjut boleh diperoleh melalui portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia untuk memastikan segala urusan berjalan lancar.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here