KUALA LUMPUR – Perubahan segera perlu dilakukan untuk mewujudkan sistem laporan yang telus, bebas dan boleh diakses semua pengamal kesihatan dalam menangani insiden buli di tempat kerja.
Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) dalam kenyataan hari ini berkata, Kementerian Kesihatan perlu merangka langkah konkrit supaya akta anti-buli dapat dikuatkuasakan agar pembuli di tempat kerja dikenakan tindakan tegas, tanpa mengira status dan pangkat.
Tindakan segera dari pihak kerajaan dapat membantu dalam memastikan tiada lagi nyawa terkorban akibat menjadi mangsa buli.
“Selain pembaharuan dasar, tumpuan yang lebih perlu diberikan kepada kepada tahap kesihatan mental pekerja penjagaan kesihatan.
“Penyediaan sokongan kesihatan mental yang mudah diakses untuk para pengamal kesihatan perlu dipertimbangkan kerana ini sangat membantu terutamanya untuk mereka yang bekerja dalam persekitaran tekanan tinggi,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kematian seorang pakar patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr. Tay Tien Yaa yang didakwa telah membunuh diri akibat tekanan kerja melampau dan dibuli di tempat kerja.
“Ini membuktikan bahawa kementerian perlu mengambil tindakan lebih tegas untuk menangani isu kritikal yang melibatkan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Pemergian beliau memberi kesan kepada komuniti perubatan.
“Sekarang adalah masa untuk kerajaan bertindak supaya keadaan tidak akan menjadi lebih serius. Kami menggesa KKM untuk melaksanakan perubahan sepatutnya dengan segera,” tambahnya. – MalaysiaGazette