Situasi di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah. Foto FB

SONGKHLA- Hampir 100,000 pelancong Malaysia memanfaatkan cuti panjang hujung minggu sempena sambutan Hari Malaysia untuk bercuti di wilayah Selatan Thailand, menyumbang lebih daripada 1 bilion Baht (RM129 juta) kepada ekonomi tempatan.

Presiden Persatuan Hotel Hat Yai Songkhla, Sittipong Sitthipatprapha, berkata lebih 36,000 pelancong Malaysia memasuki Wilayah Songkhla melalui tiga pintu masuk utama, iaitu Sadao, Dan Prakob, dan Padang Besar pada 14 September lalu dengan kesesakan dilaporkan bermula seawal 5 pagi hingga 11 malam, terutama di kawasan Hat Yai.

“Tinjauan pihak berkuasa di Wilayah Selatan Thailand menunjukkan bahawa sepanjang cuti panjang ini -Jumaat, Sabtu, Ahad, dan Isnin – lebih 100,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi Selatan Thailand, terutama Hat Yai, Songkhla, serta wilayah berdekatan seperti Phatthalung, Trang, dan Krabi,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa lebih 400 hotel dengan lebih 30,000 bilik telah ditempah penuh sepanjang cuti ini, dengan anggaran pendapatan lebih daripada 1 bilion Baht.

Sementara itu, Roosfa Hashim, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berasal dari Bandar Baru Bangi, berkata beliau telah mengunjungi Selatan Thailand sejak 30 tahun lalu ketika melakukan kajian untuk Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Roosfa yang ditemui di Pattani menambah bahawa destinasi popular bagi pelancong Malaysia termasuk Hat Yai, Krabi, dan Phuket kerana jaraknya yang dekat serta adanya kemudahan pengangkutan awam yang cekap, baik melalui jalan darat mahupun udara.

Guru, Ramlah Abdul Rashid, dari Sabah pula berkongsi pengalamannya yang suka berkunjung ke Pattani kerana terdapat banyak makanan halal yang enak dan murah.

Beliau juga menyatakan bahawa di Pattani, terdapat pelbagai jenis makanan tradisional, termasuk kuih-muih seperti Kuih Tepung Bongkol dan Kuih Cek Mek Molek yang lembut dan enak. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here