Dua suspek yang ditahan polis kerana disyaki membuang bahan kimia di Sungai Linggiu, Kota Tinggi, dua minggu lalu, disambung reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori dan kelidannya yang ditahan polis kerana disyaki membuang bahan kimia di Sungai Linggiu, Kota Tinggi, dua minggu lalu, disambung reman selama enam hari lagi bermula hari ini.

Kedua-dua suspek berusia 23 dan 28 tahun itu ditahan Isnin lalu, selepas disyaki melakukan perbuatan pencemaran bau kimia berhampiran Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Farahah Mohd Suah selepas permohonan dibuat pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian baju lokap berwarna ungu.

Dua lelaki tersebut sebelum ini ditahan kira-kira pukul 11 malam di sebuah pangsapuri di daerah ini selepas disyaki melakukan pembuangan bahan kimia di Kota Tinggi, 4 September lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, semakan rekod lampau mendapati kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya bebas pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Awal bulan ini, beberapa kawasan di daerah ini seperti di Kampung Melayu Pandan, Taman Daya, Mount Austin, Taman Istimewa, Johor Jaya, Kempas dan Skudai dikesan berlakunya pencemaran bau kimia.

Episod pencemaran bau itu mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengarahkan pihak berkuasa mengesan pelakunya sehingga ke lubang cacing.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here