KUALA LUMPUR – Rata-rata peniaga di Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit masih memilih untuk meneruskan perniagaan di tapak lama kerana khuatir perniagaan mereka akan terjejas.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, perniagaan di lokasi baharu yang terletak di Kompleks Pasar Raja Bot kurang mendapat sambutan jika dibandingkan dengan tapak lama.
Peniaga sayur-sayuran, Maya Sari Yusri, 38 berkata kebanyakkan pelanggan lebih memilih untuk membeli barangan basah di Pasar Chow Kit kerana faktor lokasi dan sudah terbiasa.
“Walaupun saya tidak berpindah ke kompleks baharu kerana saya adalah peniaga fasa satu dan mereka yang dipindahkan adalah peniaga fasa tiga, saya dengar banyak cerita dari kawan-kawan tentang sambutan yang kurang menggalakan.
“Dalam group WhatsApp kami, sering saya terbaca luahan hati kawan-kawan peniaga lain yang menyatakan pendapatan mereka semakin berkurangan jika nak dibandingkan semasa berniaga di tapak lama. Dalam sehari itu, kadangkala hanya seorang atau dua sahaja pelanggan datang sehingga peniaga hilang semangat untuk terus berniaga,” katanya.
Peniaga ayam dan daging segar, Mohd Yusuf Raja Husin, 53, berkata jumlah meja di kompleks baharu masih tidak mencukupi yang menyebabkan peniaga perlu meneruskan jualan di tapak lama.
“Jualan di Kompleks Pasar Raja Bot jika nak cakap memang jauh perbezaan. Orang tak masuk kompleks baharu jadi jika tiada pelanggan bagaimana kami harus meneruskan perniagaan?.
“Orang lebih kenal kami di sini. Pilihan barangan segar seperti ikan dan ayam pun jauh lebih banyak berbanding kompleks baharu yang mempunyai pilihan terhad,” katanya.
Malahan, harga barangan yang ditawarkan di tapak lama juga lebih berpatutan dan pelanggan juga tidak perlu berjalan jauh untuk membeli barangan basah.
Sementera itu, seorang pelanggan, Sofian Tarigan Mohd Deri, 62, beliau memilih untuk beli ke pasar lama kerana mempunyai pilihan barangan basah yang segar lebih banyak.
“Setakat ini, saya tidak pernah lagi pergi ke Kompleks Pasar Raja Bot kerana tempat itu agak mengelirukan kerana banyak laluan kecil.
“Kalau di sini, saya tahu kedai mana yang saya nak pergi dan apa yang saya perlu beli. Kompleks baharu sedikit tertutup dan di sana, sukar untuk kita kenal pasti mana kedai yang kita perlu pergi untuk beli buah, sayur atau barangan basah. Sebab itu saya rasa lagi ramai beli barangan di sini,” katanya.
Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada pertengahan April telah merobohkan gerai di Jalan Lorong Muhibbah berdekatan Pasar Chow Kit kerana dikatakan menjadi lubuk perniagaan warga Indonesia dan Myanmar.
Perobohan itu juga dijalankan untuk membina laluan masuk ke tapak projek pembangunan baharu Chow Kit Fasa Tiga dan susulan itu, seramai 64 peniaga telah dipindahkan ke penempatan baharu di Kompleks Jalan Raja Bot, Chow Kit. – MalaysiaGazette