Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar.

PETALING JAYA – Seorang pereka dalaman sambilan ditemukan mati dengan 20 kesan tikaman pada badannya di sebuah apartment di Bandar Sri Damansara, kira-kira 11 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima laporan daripada jiran mangsa pada jam 1 pagi.

Katanya, pengadu membuat laporan tersebut kerana bimbang perkara buruk berlaku kepada pereka dalaman tersebut selepas terdengar bunyi pergaduhan di antara mangsa dengan seorang individu yang tidak dikenali.

“Polis menemukan mayat seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun dengan kesan tikaman di badan.

“Siasatan lanjut mendapati terdapat lima tikaman di sebelah rusuk kiri, enam tikaman di kepala dan sembilan tikaman di kedua-dua pergelangan tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shahrulnizam, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

“Pihak polis difahamkan, mangsa tinggal bersendirian di unit apartment berkenaan yang dibelinya sejak setahun yang lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa barangan milik mangsa iaitu beg duit dan telefon bimbit disyaki telah dicuri.

“Polis tidak menolak kemungkinan kes ini adalah pecah rumah yang bertukar menjadi jenayah samun sehingga menyebabkan kematian mangsa.

“Suspek yang dikehendaki dalam kes ini turut dipercayai tercedera ketika bergelut dengan mangsa dalam kejadian itu,” ujarnya lagi.

Menurut Shahrulnizam, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.

Tambah beliau, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini atau terkesan mana-mana individu yang tercedera akibat tikaman untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Saksi juga boleh menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here