Onn Hafiz beramah mesra dengan anak muda dalam progam Sembang Santai Anak Muda Bersama MB di Ngepot Kabin, Kluang, hari ini.

KLUANG – Dakwaan Dap hanya dijadikan alat UMNO untuk menarik sokongan pengundi Cina dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah tidak berasas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dakwaan seperti itu tidak wajar dan Johor mempunyai cara serta pendekatan sendiri dalam berpolitik.

“Politik sebegitu tak sesuai di negeri Johor seperti saya mohon kepada rakan-rakan media tempoh hari (semasa sidang akhbar selepas hari penamaan calon).

“Sama-samalah kita jaga adab, tertib dan keharmonian Bangsa Johor yang kita sendiri hargai. Jangan kita terikat-ikut dengan tohamahan dan hasutan.

“Itu rayuan saya kepada Bangsa Johor terutamanya yang berada di Mahkota,” katanya kepada pemberita selepas progam Sembang Santai Anak Muda Bersama MB di Ngepot Kabin, di sini, hari ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40.

Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin ketika sesi ceramah pada hari pertama kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Tengah di sini malam kelmarin, menyeru masyarakat Cina di DUN Mahkota menolak parti DAP yang dikatakan sekadar alat UMNO untuk mendapatkan undi BN.

Dakwanya, UMNO memerlukan jentera-jentera DAP untuk kempen kepada pengundi-pengundi Cina supaya mengundi calon UMNO  dan BN.

Bagaimanapun Azman percaya orang Cina di DUN Mahkota ini cerdik dan sudah pun sedar penipuan dibuat oleh pemimpin DAP.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here