KUALA LUMPUR – Bencana banjir besar, hakisan tanah dan pelbagai kerosakan yang berlaku di muka bumi ketika ini berpunca daripada hilangnya keseimbangan dalam diri manusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keseimbangan yang dianjurkan di dalam al-Quran antara lain mengajak manusia mempertahankan keseimbangan antara kerohanian dan kebendaan serta manusia dan alam.
“Banyangkan bila bukit-bukau digeledah, pantai-pantai dikorek tanpa perhatian tentang kesan persekitaran, balak-balak dibotakkan dengan begitu rakus dan tentunya ada kesan.
“Sebab itu bagi orang yang cuba memahami peringatan al-Quran, tentang kerosakan dan kecelakaan di dunia, dia tahu bahawa tanggungjawab kita untuk pertahankan apa yang disebut sebagai keseimbangan.
“Bila kita hilang keseimbangan itu, maka ada kerosakan, siapa kata salah pembalakan? Iya, kalau tidak terkawal, ia akan menyebabkan hakisan, banjir berlebihan,” katanya berucap ketika meluncurkan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG Summit) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Menurut Perdana Menteri, lazimnya kerosakan yang berlaku akan menimpa golongan bawahan manakala elit berkuasa terselamat daripada bencana alam.
“Siapa kata pemunggahan dan hakisan bukit-bukau itu sebahagian kecil terkawal? Tetapi bila jadi besar, dia jadi limpahan masalah kepada ramai.
“Selalunya bila berlaku masalah kepada ramai, yang ramai itu golongan kelas bawahan dan miskin, jadi golongan atasan, elit masih terselamat.
“Sebab itu masalah-masalah ini tidak sampai kepada golongan penguasa dan elit kaya kerana kesan itu lebih membebankan rakyat,” katanya.
Oleh kerana itu, Perdana Menteri berkata, jika umat Islam mahu menjadi contoh kepada golongan lain, mereka perlu mempertahan dan memperjuangkan keseimbangan itu.
“Ini kerana keseimbangan itu sahajalah yang boleh menjadi contoh kepada umat manusia yang lain.
“Kalau tiada keseimbangan, masing-masing ada kuasa, rakus punggah kekayaan sedaya upaya, ambil tanah yang sebaik ada, jadi akhirnya perumahan rakyat tak dapat dikawal, persekitaran tak dapat dikawal, hakisan dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette