Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah beramah mesra bersama usahawan-usahawan muda ketika melakukan ‘walkabout’ sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Mahkota di Dewan Muafakat Kampung Tengah, Kluang, hari ini. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Barisan Nasional (BN) akan memperkasakan teras agenda Maju Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sekiranya dipilih mewakili penduduk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada 28 September ini.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, agenda Maju Johor itu merupakan satu pelan pembangunan negeri yang lengkap merentasi pelbagai aspek serta semua lapisan masyarakat.

Jelasnya, agenda itu akan menjadi teras yang ditawarkan kepada pengundi DUN Mahkota sepanjang kempen beliau buat masa ini sehingga satu manifesto khusus PRK kali ini yang masih dalam perbincangan diumumkan kelak.

Syed Hussein Syed Abdullah bercakap kepada wartawan selepas beramah mesra bersama usahawan-usahawan muda ketika melakukan ‘walkabout’ sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Mahkota di Dewan Muafakat Kampung Tengah, Kluang, hari ini. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

“Buat masa ini kita masih berbincang berkenaan manifesto khusus untuk PRK DUN Mahkota ini.

“Tetapi kita di peringkat negeri telah menyasarkan agenda Maju Johor untuk diperkasakan di kawasan ini kerana perkara yang ditekankan dalam teras itu telah mencakupi semua pihak berkepentingan termasuk golongan kanak-kanak, wanita, orang muda dan banyak lagi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi turun padang bertemu usahawan muda sempena PRK DUN Mahkota di Dewan Muafakat Kampung Tengah, dekat sini, hari ini.

Kerajaan Negeri Johor tahun lalu melancarkan agenda `Maju Johor’ iaitu satu inisiatif untuk merealisasikan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.

Agenda itu dirangka dengan enam teras utama iaitu urusa tadbir kerajaan yang baik; pembangunan ekonomi; jaringan keselamatan sosial; kemudahan dan keperluan asas; keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam serta orang muda Johor.

Sementara itu, ditanya berkenaan gerak kerja kempen beliau sepanjang PRK Mahkota setakat ini, Syed Hussien berkata, beliau memfokuskan untuk bertemu dengan sebanyak mungkin kelompok-kelompok pengundi secara bersemuka.

Katanya, kaedah bertemu secara bersemuka itu dilihat lebih berkesan memandangkan para pengundi dapat menyuarakan hasrat serta masalah mereka secara terus kepada beliau untuk dipanjangkan kepada pihak berkaitan bagi diselesaikan.

“Kita akan kekalkan cara kempen `door to door’ (bersemuka) dalam kelompok yang kecil.

“Sebab saya dapat rasakan sentuhan dengan pengundi itu penting, kita dapat dengar segala luahan mereka dan pengundi juga selesa bertemu secara bersemuka,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here