Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang disaman Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal menggesa Naib Presiden DAP itu turut menyaman aplikasi ChatGPT.

Ia susulan dakwaan Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh bahawa aplikasi kecerdasan buatan (AI) telah membuat kesalahan terjemahan kenyataannya berhubung perkara tersebut sehingga mengundang kontroversi.

“Sebelum ini salah Dr Akmal katanya, sekarang dah jadi salah ChatGPT pula ya.

“Apa punya lawaklah nyonya ni. Mohon saman juga ChatGPT tu ya. Tak sabar rasanya nak lawan di mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam wawancara dengan sebuah media arus perdana, Teresa dipetik berkata, kesalahan terjemahan oleh ChatGPT dan tumpuan media terhadap unsur sensasi adalah punca kenyataannya berkenaan cadangan mewajibkan pensijilan halal menjadi kontroversi.

Beliau dipetik berkata, kesilapan terjemahan kenyataan asalnya dalam bahasa Mandarin kepada bahasa Melayu menyebabkan ada bahagian diterjemah menjadi sensitif.

Teresa turut disiasat polis berhubung kenyataan berkait isu berkenaan.

Pada 11 September lalu, Teresa memfailkan saman terhadap Akmal dan menuntut ganti rugi RM25 juta selepas mendakwa Ahli Dewan Negeri (ADN) Merlimau itu memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast