Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Muktamar Tahunan ke-70 Pas disifatkan sebagai kemuncak politik kebencian yang membiak budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun di bawah kepimpinan presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ia bukan perkara baharu bahkan sejak 40 tahun lalu, identiti Abdul Hadi sudah sinonim dengan politik kebencian dan menyemarakkan fenomena takfiri di negara ini.

“Lidahnya tidak letih mencaci-cerca saingannya dan sangat liberal menggunakan label kafir, nifaq, ejen Barat, Freemason dan lain-lain lagi terhadap mereka yang tidak disukainya.

“Akhlak dan gelagatnya lebih hampir kepada Abdul Rahman ibn Muljam dan menyimpangi daripada tauladan Rasulullah SAW.

“Adalah penting untuk kita memahami sejarah dan konteks dengan tepat sebelum membuat perbandingan atau tuduhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Saifuddin, perbandingan yang dibuat Abdul Hadi antara Kerajaan Perpaduan hari ini dengan golongan munafiqun di Madinah tidak tepat dan mengelirukan.

“Fakta sejarah menunjukkan Madinah diperintah oleh Nabi Muhammad SAW dan para pengikut beliau yang beriman dan bukan golongan munafiqun.

“Tidak wajar menuduh sesiapa sebagai munafik kerana keimanan seseorang hanya diketahui Allah dan kita sebagai manusia tidak mempunyai hak atau kemampuan untuk menilai keimanan orang lain,” katanya.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu juga mengingatkan Pas, ketika parti itu dalam Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022, tiada usaha untuk mengharamkan arak dan perjudian, menunjukkan isu itu lebih kompleks.

“Lebih 30 bulan Pas menyertai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuktikan di sebalik retorik-retoriknya, Pas sebenarnya lompong dan ketandusan idea dalam memimpin dan membangunkan negara.

“Kegagalan ini jelas apabila rakyat sendiri terpaksa memulakan Kempen Bendera Putih untuk membantu sesama sendiri,” katanya.

Walaupun kini Pas memerintah empat negeri dengan sebahagiannya majoriti penuh namun kata Saifuddin, pemimpin parti Islam itu masih mempamerkan tindakan serupa.

“Ini membuktikan bahawa pelaksanaan dasar memerlukan pertimbangan lebih luas dan Pas kekurangan idea dalam memimpin negara.

“Ini menunjukkan bahawa pelaksanaan dasar-dasar tersebut bukan sekadar isu kekuasaan politik, tetapi melibatkan pertimbangan yang lebih luas.

“Cacian, kebencian dan angan-angan inilah yang dihidangkan pemimpin-pemimpin Pas dalam ucapan dan resolusi mereka pada Muktamar Pas ke-70,” katanya.

Sementara itu, katanya, Rasulullah SAW mewujudkan Piagam Madinah untuk menyatukan semua penduduk Madinah dan mengisytiharkan yang Islam dan bukan Islam sebagai satu ummah.

“Abdul Hadi sentiasa bertindak sebaliknya dengan melaga-lagakan antara rakyat pelbagai kaum dan agama. Rasulullah SAW menyampaikan risalahnya dengan mau`idzah dan hikmah, Abdul Hadi didorongi kebencian dan kemarahan dan membudayakan caci-cerca, herdik-mengherdik dan memaki hamun di dalam Pas.

“Rasulullah SAW membina sebuah masyarakat adil dan dipimpin para sahabat menjadi contoh akhlak mulia, Pas di bawah kepimpinan Abdul Hadi menyaksikan rekod paling ramai ahli keluarga pemimpin-pemimpin,” katanya.

Saifuddin mengingatkan Pas bahawa parti itu pernah disiasat dan didakwa kerana penyelewengan termasuk kemenangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dibatalkan mahkamah kerana menang dengan jalan rasuah ketika pilihan raya.

“Ini adalah fakta yang semua rakyat Malaysia perlu tahu, faham dan ingat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ketika umat Islam di Malaysia menghadapi pelbagai masalah penagihan dadah, keganasan domestik, rasuah, kemiskinan dan ramai dijangkiti HIV namun Pas dan Abdul Hadi ketandusan idea.

“Sebaliknya lebih fokus berwirid berangan-angan ingin merampas kuasa kerajaan dan mengabaikan agenda hudud yang dilaung sebagai prinsip Pas,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, ketika Kerajaan Perpaduan bertekad memerangi rasuah dan penyelewengan, Pas pula mesra berselingkuh dengan mereka yang terbabit dengan rasuah dan penyelewengan.

“Ketika kerajaan bersungguh-sungguh membela nasib rakyat Palestin, pemimpin-pemimpin Pas berangan-angan ingin menambah isteri.

“Adakah pelbagai penyelewengan, permusuhan serta kebencian yang kita lihat datang daripada Pas menandakan Phas hari ini lebih didorongi nafsu dan telah ditarik rahmah oleh Allah?

“Adakah ahli-ahli Pas sedar bahawa di sebalik hujah-hujah disaluti al-Quran dan hadis adalah sikap dan tindak-tanduk yang sebenarnya menyeleweng daripada ajaran Islam?

“Adakah pengikut dan pemimpin Pas sedar bahawa nilai, pendirian, risalah dan pendekatan mereka semakin menyerupai golongan Khawarij dan Abdul Hadi bertanggungjawab sepenuhnya menyemai nilai dan amalan ini sejak 40 tahun lalu?” soalnya.

Saifuddin hanya melihat keadaan Pas hari lebih kepada menyimpang jauh daripada perjuangan asal yang diasaskan oleh tokoh-tokoh seperti Prof. Zulkifli Muhammad, Burhanuddin Al Hilmi, Fadhil Noor, Yusuf Rawa dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Di bawah kepimpinan Abdul Hadi, pasti mereka menitiskan air mata melihat Pas mengalami kemerosotan termasuk kegagalan Abdul Hadi mempertahankan kemenangan di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU-10) pada 1999.

“Abdul Hadi hanya menjadi Menteri Besar sepenggal, dikenang kerana kepimpinan yang tidak kompeten dan lemah,” katanya.

Lebih dikesali, katanya, pemimpin Pas sering mendakwa diri sebagai ulama yang mengikuti Kerajaan Hidayah dan Abdul Hadi mengkritik Kerajaan Perpaduan Madani sebagai Kerajaan Jibayah.

“Bagaimanapun, usaha Kerajaan Madani meningkatkan ekonomi negara untuk membantu rakyat terbukti berhasil, manakala cubaan lemah Pas merosakkan kepercayaan pelabur menunjukkan perjuangan politik hipokrit dan berlandaskan fitnah.

“Kita harus mengelakkan retorik yang memecah-belahkan dan sebaliknya mengutamakan dialog konstruktif untuk menangani cabaran negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast