KUALA LUMPUR – Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) yang kini sedang dalam pembinaan dijangka siap pada Disember tahun depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, beliau telah melakukan lawatan ke hospital tersebut dan mendengar taklimat mengenai perkembangan projek pembinaannya yang disampaikan oleh Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Mohd Noh bersama wakil syarikat konsesi yang dilantik.
Katanya, hospital tersebut akan beroperasi pada Januari 2026 dengan kapasiti 400 katil, 25 bilik pembedahan, 40 katil rawatan intensif/rapi dan 145 buah klinik pakar.
“Hospital ini juga berkonsepkan hospital pintar dan keseluruhan operasinya menggunakan sistem digital maklumat hospital lengkap.
“HUMS akan menjadi pusat pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar perubatan dan kejururawatan; menjalankan penyelidikan perubatan dan sains kesihatan serta menawarkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada orang awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Zambry berkata, antara perkhidmatan yang ditawarkan HUMS termasuklah khidmat rundingan dan rawatan doktor pakar, kecemasan dan trauma selama 24 jam, 2 Angiogram Suite, Magnetic Resonance Imaging (MRI), Computed Tomography (CT-scan), Wad Isolasi Komprehensif 10 katil, rawatan pesakit harian 58 katil dan hemodialisis 40 kerusi rawatan.
Jelas beliau, dengan beroperasinya HUMS itu, ia bakal mempertingkatkan mutu pendidikan dan latihan perubatan, meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi untuk masyarakat setempat dan meningkatkan fiskal pendapatan serta ekonomi rakyat khususnya dalam sektor pekerjaan. – MalaysiaGazette