Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Foto AIZAT ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Industri halal mampu memenuhi aspek ekonomi Islam yang tidak dapat dikuasai sektor kewangan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia mampu menarik penyertaaan yang lebih luas merangkumi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), petani, nelayan dan peruncit.

Malah, katanya, ia dapat menyantuni dan melepasi kelompok yang selalu dianggap memperdagang, peniaga elit kepada masyarakat tempatan.

“Demi mencapai maksud ekonomi Madani dan semangat Maqasid Syariah mesti santuni rakyat. Institusi kewangan berjaya dalam beberapa bidang…kita akui. Tapi dengan halal ia melebar kepada sesuatu yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa (MIHAS) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Besar Perak,  Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Sri Reezal Merican Naina Merican.

Menurut Perdana Menteri, daripada sudut berbeza, ia memberikan gambaran bahawa ekonomi Islam bukan lagi terletak kepada institusi kewangan dari sudut penolakan sistem riba, ada kejayaan yang dicatat.

Katanya, jika dalam maqasid syariah, usaha tersebut boleh diperluaskan ekosistemnya supaya matlamat berkenaan dapat dicapai.

“Saya nak rakam pengharagaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid, saya minta supaya (beliau) kepalai pasukan dan selaras kegiatan dan majlis pembangunan industri halal dan kenal pasti aspek baharu yang belum diterokai.

“Terima kasih kepada beliau dan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri),  MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia)  kerana meletakkan Malaysia pada tahap yang meyakinkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kunjungan beliau bersama delegasi negara ASEAN, China, Eropah dan Arab termasuk Rusia tidak terlepas untuk membicarakan penekanan keperluan Malaysia untuk memberikan kerjasama bukan sahaja pensijilan bahkan perdagangan dan soal kegiatan halal.

“Sektor halal ini didorong faktor lain termasuk penambahan nilai, kebersihan dari segi kesihatan serta keaslian produk dan perkhidmatan halal Malaysia ke taraf lebih tinggi.

“Ini mampu menerobos pasaran antarabangsa termasuk barat dan timur,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here