KUALA LUMPUR – Pemain industri makanan dan minuman (F&B) disarankan untuk menggunakan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pensijilan halal.
Langkah ini untuk memastikan produk keluaran mereka memenuhi standard piawaian halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sukatan pelajaran berkaitan hal halal telah diajar oleh kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) dan TVET untuk tenaga kerja seperti penyelia dan juruaudit.
Hal ini sekali gus dapat memenuhi keperluan bahagian pengurusan halal Jakim untuk menambah pegawai dan kakitangan bagi pengeluaran sijil halal.
“Alangkah baiknya jika graduan TVET yang mahir selok-belok pengeluaran sijil halal dapat menggunakan pengalaman mereka sebagai sumber kepada industri untuk mempercepatkan sijil halal.
“Tempoh permohonan sijil halal juga telah dikemaskini. Pada awalnya, tempoh yang diperlukan adalah sembilan bulan dan sekarang Jakim lebih ke hadapan dalam meluluskan sijil hanya dalam tempoh 15 hari bekerja. Tetapi, dengan syarat semua dokumen dan peraturan telah dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) 2024 sempena Pameran Halal Antarabangsa (MIHAS) 2024, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan sektor industri halal serta TVET menjadi antara lima fokus utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui Zahid.
Tambahnya, industri produk halal mempunyai potensi besar bukan sahaja di peringkat domestik malah antarabangsa. – MalaysiaGazette