Oleh: Dr. Siti Aisyah binti Samudin
KONFLIK antara Palestin dan Israel yang telah berlangsung selama beberapa dekad semakin memuncak dengan ketegangan yang berlaku sejak 7 Oktober 2023. Terkini, pejabat media kerajaan di Gaza memaklumkan seramai 40,139 orang, dengan 92,743 individu lagi mengalami kecederaan akibat daripada ketegangan itu.
Dilaporkan lebih separuh daripada jumlah mangsa terkorban merupakan wanita dan kanak-kanak. Atas dasar ini, masyarakat perlu menyedari korban konflik ini bukan hanya terdiri daripada umat Islam, tetapi juga warga Palestin yang menganut agama lain seperti Kristian, Druze, bahkan kaum Yahudi anti zionis sendiri turut ada yang menjadi mangsa.
Oleh itu, konflik Palestin-Israel tidak boleh disederhanakan sebagai konflik agama semata-mata, sebaliknya perlu difahami sebagai masalah politik dan kemanusiaan yang lebih mendalam. Kuasa barat khususnya melalui Amerika Syarikat yang terus menciptakan naratif palsu dengan menyebut tindakan mereka sebagai respons terhadap terorisme pejuang Palestin juga perlu disangkal dan dikritik.
Realitinya, tindakan yang dikatakan terorisme sebenarnya merupakan langkah yang diambil rakyat Palestin dalam usaha berjuang mempertahankan kebebasan dan hak atas tanah yang dirampas. Terang lagi bersuluh, kuasa barat sehingga kini menyokong dan berpihak pada rejim aparteid, genosid, dan kejahatan terhadap kemanusiaan jika terus mendokong Israel.
Malaysia tegas mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan Israel yang terdahulu, menyerang kem pelarian terbesar di Gaza, mengakibatkan ratusan korban jiwa, termasuk wanita dan anak-anak. Masyarakat juga perlu maklum dan sehati sejiwa dalam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau dan biadab rejim Zionis yang melanggar undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Malahan, beberapa undang-undang antarabangsa yang didakwa telah dilanggar Israel dalam konteks konflik Israel-Palestin turut direkodkan. Undang-undang ini termasuklah:
1. Konvensyen Geneva Keempat (1949): Perlindungan Orang Awam di Kawasan Perang: Israel dituduh melanggar Konvensyen ini melalui aktiviti seperti penempatan penduduk Israel di kawasan yang diduduki (Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur) dan pengusiran paksa rakyat Palestin. Artikel 49 Konvensyen Geneva Keempat secara tegas melarang perpindahan penduduk kuasa pendudukan ke kawasan yang diduduki.
2. Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB): Larangan Pencerobohan dan Penggunaan Kekuatan: Artikel 2(4) Piagam PBB melarang penggunaan kekuatan atau ancaman kekuatan terhadap kedaulatan negara lain. Serangan tentera dan tindakan ketenteraan Israel terhadap wilayah Palestin sering dianggap sebagai pelanggaran prinsip ini.
Penjajahan Wilayah: Israel dianggap melanggar prinsip-prinsip Piagam PBB dengan terus mengawal dan menjajah wilayah Palestin, termasuk melalui pembinaan penempatan dan tembok pemisah di Tebing Barat.
3. Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR):
Hak Asasi Manusia: Pelanggaran hak asasi manusia seperti hak untuk hidup, hak untuk keselamatan diri, dan hak untuk kebebasan bergerak sering dikaitkan dengan tindakan Israel di wilayah Palestin. Pembunuhan orang awam, penahanan tanpa bicara, dan sekatan terhadap kebebasan pergerakan adalah antara contoh pelanggaran ini.
4. Resolusi PBB: Resolusi 242 dan 338 Majlis Keselamatan PBB: Resolusi ini menggesa Israel untuk berundur dari wilayah yang didudukinya semasa Perang Enam Hari 1967 dan menamatkan semua tuntutan atau keadaan berperang. Israel sering dituduh melanggar resolusi ini dengan mengekalkan kawalan ke atas wilayah-wilayah yang diduduki.
5. Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa: Penggunaan Kekuatan yang Berlebihan: Israel telah beberapa kali dituduh menggunakan kekuatan yang tidak seimbang atau berlebihan, terutama dalam serangan terhadap Gaza, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan serius kepada orang awam.
6. Penghinaan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC):
Siasatan Terhadap Jenayah Perang: ICC telah membuka siasatan terhadap kemungkinan jenayah perang yang dilakukan di wilayah Palestin, termasuk tindakan oleh Israel. Israel telah menolak kesahihan siasatan ini, yang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai satu tindakan tidak menghormati undang-undang antarabangsa.
7. Penghormatan terhadap Tempat Suci: Pelanggaran Status Quo Tempat Suci di Baitulmaqdis: Israel sering dituduh melanggar status quo di tempat-tempat suci di Baitulmaqdis, terutamanya di kawasan Masjid Al-Aqsa, yang mencetuskan ketegangan agama dan politik.
Tuduhan pelanggaran undang-undang ini telah mengundang kritikan meluas dari masyarakat antarabangsa, walaupun Israel sering mempertahankan tindakannya atas dasar keselamatan negara. Tindakan tegas Parlimen Malaysia menggesa penyingkiran Israel daripada keahlian PBB dan membantah rancangan Israel menceroboh wilayah Palestin di Tebing Barat menjadi bukti sokongan dan solidariti yang kukuh Malaysia ke atas Palestin dan keamanan dunia umumnya.
Lantaran itu, tindakan kerajaan membawa pulang warga Palestin untuk menerima rawatan di Malaysia adalah langkah yang wajar dan diharap mampu menjadi contoh dan ikutan khususnya negara ASEAN dan negara-negara teluk lain. Malaysia menjadi negara pertama di Asia membawa pulang warga Palestin yang cedera sehingga menempuh penerbangan lebih 16 jam. Misi membawa pulang 41 pesakit dan 86 waris warga Palestin yang cedera tidak hanya menunjukkan sokongan kepada komuniti yang sedang menderita, tetapi juga mencerminkan komitmen Malaysia terhadap prinsip-prinsip kemanusiaan yang tinggi.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.