KUALA LUMPUR – Bapa kepada kanak-kanak yang dirotan dalam video yang tular semalam mengesahkan dia telah terpisah dengan anaknya sejak tahun 2021 lagi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menerima dua laporan penderaan kanak-kanak yang disyaki dilakukan oleh ahli Global Ikhwan Service and Businesses Berhad (GISBH) semalam.
“Laporan itu telah dibuat oleh bapa mangsa di satu balai polis di Kluang, Johor.
“Dua kertas siasatan telah dibawa dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Semalam, dua video berbeza memperlihatkan kanak-kanak didera tanpa perikemanusiaan oleh penjaga yang didakwa pekerja rumah amal GISBH telah tular.
Dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) Malaysia, video pertama itu menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki telah ditekan dan dipijak di bahagian dada menggunakan lutut sehingga menangis dan hampir pengsan.
Video kedua pula memperlihatkan beberapa kanak-kanak dirotan sebanyak enam hingga 15 kali tanpa belas kasihan sehinggakan mereka menangis dan meronta kesakitan.
Terkini, polis telah menyelamatkan 392 kanak-kanak terdiri daripada 202 lelaki dan 190 perempuan.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas semua mangsa juga telah mengenalpasti tanda penderaan fizikal dan emosi.
Sehingga 16 September, sejumlah 149 kanak-kanak berumur satu hingga 10 tahun telah ditempatkan di bawah penjagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dipindahkan ke empat pusat perlindungan berbeza.
Manakala baki mangsa seramai 243 orang masih lagi ditempatkan di Pusat Latihan Polis di sini dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat. – MalaysiaGazette