Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUANTAN – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menempelak DAP dengan menyifatkan ia parti tidak beradab kerana cuba mengaitkan aktiviti perjudian sebagai sumber ekonomi orang Islam.

Timbalan Presiden Pas berkata, kenyataan Pengerusi DAP Pahang, Lee Chin Chen sebagai memualkan dan pada masa sama agak melucukan apabila ia seolah-olah bertindak bagi pihak pemilik pusat perjudian tersebut.

Kelmarin, Chin Chen terkejut dengan hasrat Pas Pahang yang berhasrat untuk menutup premis judi, termasuk kasino di Genting Highlands jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.

Dia berkata, tindakan sedemikian boleh menjejaskan ekonomi, termasuk sumber pendapatan umat Islam yang bekerja di kawasan destinasi pelancongan itu.

Tuan Ibrahim berkata, sepatutnya cadangan Pas itu disokong dan dituruti oleh semua kerajaan negeri kerana mencegah judi ini bukan hanya obligasi agama semata-mata.

Tetapi ia adalah tanggungjawab sosial kerajaan agar rakyat tidak terus menghadapi masalah peribadi, kewangan, dan sosial yang serius akibat aktiviti perjudian ini.

Ini termasuk kemuflisan kewangan, kehilangan pekerjaan, isu undang-undang, dan tekanan emosi.

Artikel berkaitan: Pas tutup semua industri mudaratkan rakyat jika menang PRU-16

“Adakah DAP mahu rakyat Malaysia terus dibebani masalah sosial?,” soalnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka menambah, tiada agama membenarkan perjudian dan semua tokoh agama memandang ia tidak bermoral.

“Ia telah ditegaskan oleh para tokoh agama Kristian, Buddha serta Hindu dalam beberapa siri perjumpaan yang dianjurkan oleh Pas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, pemimpin yang bertanggungjawab bukan sekadar bimbang rakyatnya tidak cukup makan, namun pemimpin juga patut dukacita dan resah andai rakyatnya memakan makanan dari sumber yang haram yang boleh merosakkan jiwa dan sifat insaniah mereka.

“Ayah yang baik tentunya tidak akan membiarkan anaknya melakukan sesuatu yang buruk. Seorang ayah yang merokok, pasti tidak suka anaknya merokok.

“Jika merokok boleh merosakkan kesihatan, perjudian pula merosakkan ekonomi keluarga dan masyarakat,” kiasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast