Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bercakap pada sidang media mengenai isu rumah amal GISB ketika di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Lebih RM581,000 aset Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) menerusi 96 akaun dibeku oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak berkenaan juga telah mengeluarkan arahan untuk menyita lapan buah kenderaan syarikat berkenaan.

“Kita bekukan lebih kurang RM581,552.31 di Bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 dan sebanyak empat akaun telah ditutup,” katanya ketika sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.

Sebagai rekod sebelum ini, terdapat dakwaan mengatakan GISBH memperoleh pendapatan lebih RM2 juta setiap bulan.

Terdahulu menerusi sidang media yang sama, Razarudin berkata, Kementerian Kesihatan  (KKM) yang telah menjalankan saringan kesihatan terhadap semua 392 mangsa mengesahkan terdapat elemen jenayah dari sudut fizikal dan emosi berlaku di pusat-pusat amal GISB yang diserbu baru-baru ini.

“Yang memerlukan penilaian lanjut daripada segi kesihatan emosi terhadap para mangsa. Elemen-elemen jenayah yang dikesan adalah penderaan fizikal dan emosi dan pengantunan kanak-kanak (child groom), child labour, pengabaian kanak-kanak dan kekurangan zat,” jelasnya.

Daripada semua mangsa yang diselamatkan baru-baru ini, 149 kanak-kanak berumur satu hingga 10 tahun diberikan perintah jagaan sementara di Bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Baki mangsa kanak-kanak seramai 243 orang masih ditempatkan di PULAPOL KL dan akan dipindahkan ke pusat jagaan secara berperingkat,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Razarudin mengesahkan sebanyak 33 kertas siasatan dibuka menerusi siasatan Fasa 1 dan 2.

Jumlah keseluruhan rakaman percakapan yang telah dijalankan Op Global adalah sebanyak 740 melibatkan pengadu (30), saksi (216), mangsa (392) dan suspek (102), katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here