MELAKA – Kerajaan Melaka dalam proses mewartakan lima lagi ajaran dan kegiatan baharu sebagai sesat yang menjadikan keseluruhan ajaran serta kegiatan difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam kepada 36 kumpulan.
Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil berkata, lima kumpulan dan kegiatan itu ialah Ajaran dan Fahaman Irwan Bin Alias, Ajaran Suhaini Bin Mohammad atau Ajaran Si Hulk, Amalan Dan Kaedah Perubatan Encik Adam Bin Isa (Tabib Adam), penyelewengan Ajaran Risalah Bab Kesucian yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah) serta kumpulan yang mengamalkan ajaran Kewajipan Berpegang Dengan Ahli Sunah Waljamaah.
“Semua lima ajaran dan kegiatan itu sudah dikemukakan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan akan diwarta dalam tempoh terdekat.
“Kami (kerajaan negeri) tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan masyarakat di Melaka yang mengamalkan dan menjadi pengikut kepada kumpulan ajaran sesat kerana pergerakan kumpulan ini berlaku secara rahsia meskipun ajaran mereka sudah difatwakan haram kerana menyeleweng daripada akidah Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, senarai ajaran yang difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka itu tertakluk di bawah Seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 yang dikemukakan oleh Mufti Melaka mengikut Subseksyen 36(3) serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Subseksyen 36(4) bagi penyiaran fatwa itu dalam warta.
Warta terbabit katanya sudah dimaklumkan kepada kerajaan negeri mengikut Subseksyen 36(6) sekali gus membolehkan fatwa itu disiarkan dalam warta di bawah subseksyen berkenaan dan Subseksyen 38(1).
“Kita nasihatkan seluruh umat Islam termasuk ahli keluarga kita sendiri jika terdapat sebarang perkara yang mencurigakan mereka perlu segera melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka supaya tindakan dapat diambil,” katanya. – BERNAMA