Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan antara sebab pembangkang menolak draf memorandum persefahaman (MoU) berkait peruntukan kepada wakil rakyat berikutan ia menghalang daripada membuat kenyataan diskriminasi mana-mana pihak seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MoU itu membawa masuk elemen-elemen yang bertentangan dengan nilai hidup masyarakat Asia yang kuat berpegang dengan nilai moral dan agama.

“Misalnya, MoU ini menghalang ahli-ahli Parlimen PN membuat kenyataan ‘yang mendiskriminasi mana-mana pihak sama ada atas dasar agama, kaum…atau apa-apa faktor identiti yang lain’.

“Identiti yang lain ini termasuklah kumpulan LGBT. Adakah ini bermakna sekiranya ahli-ahli Parlimen PN bersetuju dengan draf MoU ini maka mereka tidak boleh menentang sebarang dasar atau undang-undang yang mungkin akan digubal oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) untuk membenarkan perlakuan LGBT pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, draf itu bertentangan Perlembagaan kerana beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.

Beliau juga mendakwa, draf itu mengandungi syarat-syarat yang bertentangan dengan nilai budaya dan agama, tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas serta mengandungi perkara dilihat mengongkong kebebasan bersuara ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof semalam berkongsi draf MoU itu selepas ia ditolak oleh pembangkang atas beberapa sebab.

Fadillah berkata, draf MoU itu didedahkan agar rakyat sendiri boleh menilai dakwaan yang dibuat oleh Hamzah.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berpandangan, MoU itu tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.

Tegasnya, draf MoU itu mesti ditolak bukan sahaja oleh PN malah oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara.

“Bagi saya, peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MoU. Ini adalah janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 dan Perdana Menteri sekarang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah daripada parti PH,” ujarnya. – MalaysaGazette

 

1 Komen

  1. pn ni bukan parti Islam pun sebab itu dia tolak perjanjian itu . kalau Islam dia ikut zaman nabi buat perjanjian Hudaibiyah. tak gigi pun demi rakyat dan masa depan . tapi pun ni demi kuasa dan nak jadi kerajaan

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here