Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros menyampaikan ucapan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto UMNO ONLINE, 10 JUN 2023.

KLUANG – Pergerakan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor hanya akan memfokuskan kepada usaha-usaha baik yang telah dan akan terus dilaksanakan di bawah Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Pemudanya, Noor Azleen Ambros berkata, pihaknya tidak akan sesekali menyentuh mengenai keburukan parti lawan semata-mata untuk mendapatkan sokongan pengundi.

“Kita juga sama sekali tidak akan berkempen dengan menyebar fitnah atau mencaci sehingga boleh memecah-belahkan masyarakat kerana ia bukan pendekatan politik yang diamalkan UMNO dan BN selama ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sementara itu, Noor Azleen berkata, Pemuda UMNO juga mempunyai tanggungjawab besar pada PRK Mahkota kali ini dalam menarik seramai mungkin pengundi muda untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Ujar beliau, pengundi muda perlu dibangkitkan keterujaan mereka untuk sama-sama mengundi bukan hanya untuk memastikan kemenangan BN pada PRK Mahkota kali ini, malah lebih utama sebagai kesinambungan kepada kepimpinan pentadbiran Johor dan negara pada masa depan.

“Pemilihan calon PRK Mahkota kali ini iaitu daripada Pergerakan Pemuda UMNO sendiri merupakan satu pengiktirafan kepada sayap parti ini, jadi sudah semestinya kita tidak mahu mensia-siakan peluang dan harapan ini untuk memastikan kemenangan besar kepada parti.

“Apatah lagi, UMNO dan BN ketika ini semakin mengiktiraf dan percaya kepada kemampuan orang muda untuk mewakili parti, jadi peluang ini perlu direbut oleh Pemuda UMNO untuk terus melahirkan pemimpin berkualiti pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, Pemuda UMNO Johor juga berharap dapat memberi keyakinan kepada generasi muda di DUN Mahkota khususnya serta di seluruh negeri itu untuk bersama-sama Kerajaan Perpaduan dalam memastikan masa depan Johor yang lebih gemilang.

“Orang muda di Johor mempunyai masa depan yang sangat cerah dan kita mahu menjadi parti yang boleh diharapkan oleh generasi muda untuk terus kekal dan bersama-sama memakmurkan negeri ini,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast