Seorang pengawal ditemui mati di dalam bonet kereta Proton Saga BLM yang mencurigakan diparkir di tepi Jalan Pasir, Taman Permata, Sabak Bernam.

SABAK BERNAM – Seorang pengawal keselamatan warga tempatan ditemui mati selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bonet sebuah kereta jenis Proton Saga BLM di Taman Pertama di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitenden Robin Guha Thakurta berkata, mayat itu ditemui selepas pihaknya menjumpai sebuah kereta yang mencurigakan diparkir di tepi Jalan Pasir dekat kawasan perumahan itu.

“Polis menerima panggilan daripada anggota kereta peronda memaklumkan terjumpa sebuah kereta Proton Saga BLM berwarna hitam yang mencurigakan parkir di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama, Sabak Bernam, kira-kira 6.04 petang semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati si mati merupakan seorang lelaki Melayu berumur 43 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di daerah Sabak Bernam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Robin, hasil pemeriksaan Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ke atas mayat mangsa dan mengesahkan ada unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kematian.

“Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan Iaitu Kesalahan Bunuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, untuk hadir ke balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga boleh menghubungi IPD Sabak Bernam di talian 03-32242222 bagi membantu siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here