MELAKA – Bot penumpang yang mengusahakan aktiviti rekreasi bot pisang sehingga memperjudi nyawa pengunjung dikenakan tindakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan hari ini.
Ia susulan pemeriksaan ke atas pengusaha bot yang menggunakan khidmat jurumudi tidak berlesen dikesan pada jarak kurang 0.1 batu nautika barat daya pantai Pengkalan Balak pukul 2 petang tadi, kata pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut telah melanggar syarat sah lesen iaitu nama jurumudi tiada di dalam lesen bot dan membawa lebihan kru dan pekerja.
“Bot berserta jurumudi lelaki berusia 19 tahun dan kru berusia 16 hingga 19 tahun ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan media petang ini.
Tambah beliau, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.
“Kita kesal kerana mereka dilihat seolah-olah mengambil remeh isu keselamatan pengunjung sedangkan peraturan ditetapkan supaya bencana atau bahaya berpunca daripada operator bot dapat dielakkan.
“Pengusaha bot dinasihatkan tidak mengambil sikap sambil lewa mengenai keselamatan di laut terutamanya kepada pengunjung yang hadir,” tegasnya lagi.
Hari ini tular di Facebook (FB) mengenai insiden seorang wanita dan anak-anaknya yang masih kecil hampir lemas semalam gara-gara dijatuhkan di tengah laut oleh jurumudi bot yang menarik bot pisang dinaiki mereka.
Dakwanya, jurumudi bot penumpang berkenaan melakukan aksi drif di tengah-tengah laut menyebabkan mereka sekeluarga terjatuh dan dibiarkan hampir lemas walaupun memakai jaket keselamatan.
Ujar wanita itu, jaket berkenaan hanya mampu bertahan kira-kira tiga minit di dalam air sebelum dia hampir tenggelam dan kru bot penumpang tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan mereka.
Sebaliknya, dia terpaksa mengarahkan anak-anaknya berusia 12 hingga 19 tahun naik ke dalam bot penumpang namun bot berkenaan juga hampir tenggelam memaksa mereka menaiki semula bot pisang berkenaan. – MalaysiaGazette