KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya akan memanggil Pengarah Eksekutif Global Ikhwan Service and Busines Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali untuk merakam keterangannya dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan Nasiruddin penting untuk membantu siasatan berhubung dakwaan syarikat itu yang dikatakan terlibat dalam eksploitasi kanak-kanak dan tuduhan meliwat.
“Dakwaan yang beliau (Nasiruddin) sebelum ini pernah berbincang dengan pihak pihak berkepentingan adalah tidak benar kerana kami tidak mengetahui asal usul kenyataan itu.
“Bagaimanapun, jika benar, kami akan menyiasat dengan siapa beliau pernah berbincang dan berkolaborasi,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.
PDRM juga mempersoalkan kewajaran kenyataan Nasiruddin baru-baru ini yang mengajak pihak berkuasa untuk berbincang sekiranya GISB terbukti bersalah.
“Untuk kita berbincang di bawah ATIPSOM dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang melibatkan tuduhan kesalahan seksual dan penderaan. Adakah perlu untuk kita berbincang?
“Kami sedang menjalankan siasatan dengan telus dan adil untuk membela hak mereka yang berhak,” tambahnya.
Polis juga menegaskan, siasatan sedang dijalankan dari pelbagai sudut terhadap GISBH untuk membantu kes dan proses itu tidak akan berhenti di sini.
Siasatan terhadap GISBH dijalankan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
GISBH akui berlaku kes liwat, nafi dakwaan lain – Nasiruddin