Datuk Rosni Zahari

KLUANG – Pergerakan Wanita UMNO sudah melupakan kekecewaan dan kesedihan selepas calon sayap parti itu tidak dipilih untuk mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Malah Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari berkata, sayap parti itu kini bangkit dengan semangat lebih kuat untuk memastikan kemenangan calon BN seterusnya meneruskan legasi khidmat cemerlang yang ditinggalkan pemimpin Wanita UMNO di DUN tersebut.

Lebih utama, ujar beliau, Wanita UMNO sentiasa meletakkan keputusan picik pimpinan mengatasi kehendak peribadi iaitu formula untuk memastikan keutuhan dan kesepaduan UMNO khususnya dalam mendepani PRK DUN Mahkota ketika ini.

“Memang pada mulanya terkilan sebab calon kita tidak dipilih, tapi sekarang semangat kita sudah pulih, dan kita sebenarnya lagi laju dalam buat kerja (kempen).

“Kita juga sudah susun gerak kerja untuk memenangkan calon BN sebelum pemilihan calon lagi dan kita akan teruskan untuk memastikan kemenangan siapa pun calon BN sebab kita yakin dengan pilihan pucuk pimpinan parti,” katanya menerusi sesi temu bual bersama portal UMNO Online.

Sementara itu, Rosni yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran berkata, Wanita UMNO terus menggunakan pendekatan bersemuka dengan pengundi sepanjang tempoh kempen PRK kali ini untuk mendapat maklum balas dan pandangan secara terus daripada pengundi DUN Mahkota.

Jelas beliau, walaupun banyak pihak berpandangan BN mempunyai kelebihan pada PRK DUN Mahkota kali ini, namun Wanita UMNO tidak pernah berasa selesa dan tetap bekerja keras mendekati seramai mungkin pengundi termasuk kaum Cina dan India.

“Kita juga tidak ketepikan jentera parti daripada Pakatan Harapan (PH) kerana mereka kini sudah menjadi sahabat kita dalam Kerajaan Perpaduan dan sudah semestinya sokongan mereka dapat memastikan calon BN mampu mendapat kemenangan besar kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengundi DUN Mahkota supaya tidak membuat kesilapan pada PRK kali ini dan memilih calon serta parti yang benar-benar dapat mengangkat serta merubah masa depan mereka.

“Jika BN menang besar pada PRK kali ini, sudah semestinya segala pembangunan dan perancangan negeri akan turut dibawa bersama-sama ke DUN Mahkota, jadi pengundi di sini perlu bijak memilih,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here