Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menziarah penduduk bagi membantu kempen calon Barisan Nasional sempena pilihan raya kecil Dun Mahkota di Taman Ilham, Kluang. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Tidak ada sebab untuk pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mahu merubah wakil rakyat mereka kepada parti yang tidak sealiran dengan pentadbiran kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada 28 September ini.

Ini kerana, kata Ahli Majis Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, perkara itu hanya akan merencatkan segala usaha pembangunan yang dirancang untuk dibawa ke kawasan DUN tersebut demi manfaat penduduknya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bercakap ketika ditemubual pada program ziarah penduduk bagi membantu kempen calon Barisan Nasional sempena pilihan raya kecil Dun Mahkota di Taman Ilham, Kluang. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

Sehubungan itu, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, beliau yakin pengundi DUN Mahkota sangat matang dalam membuat keputusan dan kekal menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN tersebut.

“PRK DUN Mahkota ini tidak akan merubah kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat, jadi tidak ada sebab untuk pengundi di sini tidak mahu terus sealiran dengan pentadbiran kerajaan negeri di bawah BN atau dengan Pusat di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin pengundi Mahkota cukup matang dan mementingkan isu-isu yang memperjuangkan nasib mereka seperti ditekankan Kerajaan Perpaduan berbanding isu-isu lapuk yang dibawa pembangkang yang jelas merugikan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli MKT UMNO Angkat bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham ditemui pemberita selepas melakuka ziarah kasih di beberapa buah rumah penduduk setempat di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Jazlan melahirkan keyakinan gelombang orang Melayu dan pengundi muda dalam skala besar seperti yang berlaku pada PRK DUN Nenggiri yang menyaksikan kemenangan besar calon BN turut akan berulang di PRK DUN Mahkota.

Ujar beliau, perkara itu berdasarkan realiti politik semasa yang mana orang Melayu dan pengundi muda semakin yakin dengan kemampuan kepimpinan Kerajaan Perpaduan hari ini untuk mengemudi negara.

“Anak-anak muda khususnya mesti memikiran soal masa depan mereka di bawah pentadbiran kerajaan negeri hari ini yang mana telah berjaya membawa masuk pelaburan asing antara yang tertinggi dalam negara sekali gus dapat merancakkan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan buat mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menepis dakwaan kononnya wujud masalah dalaman UMNO negeri sepanjang kempen PRK DUN Mahkota ketika ini yang mungkin tidak memberi kelebihan kepada parti tersebut.

Jelas beliau, desas-desus itu sengaja ditimbulkan pembangkang untuk melemahkan moral dan semangat jentera parti khususnya dari negeri-negeri lain yang datang membantu kempen PRK kali ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast