KUALA LUMPUR – Malaysia boleh berbangga negara kini berada pada kedudukan yang baik dengan 43 peratus berbanding pencapaian dunia secara purata 17 peratus dalam petunjuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan itu menunjukkan agenda Madani yang digagaskan Kerajaan Perpaduan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita bersyukur. Alhamdulillah kerana dari analisis 248 petunjuk, SDG yang terkini, kita berada dalam kedudukan yang agak baik iaitu sekitar 43 peratus berbanding pencapaian dunia yang puratanya sekadar 17 peratus.
“Itu hanya memberi sedikit petanda tetapi apakah tahap pencapaian cita-cita ekonomi Madani dan SDG ini sesuatu yang perlu bagi negara dan manusia?
“Sekiranya jawapannya itu perlu, maka kita harus bergegas dengan upaya lebih untuk mencapai suatu pretasi yang lebih baik.
“Itu bagi saya, tanda aras kita, walaupun kita bangga kerana pencapaian 43 peratus ketimbang 17 peratus yang dicapai secara purata itu sudah satu tahap yang sangat menggalakkan,” katanya semasa berucap ketika meluncurkan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG Summit) 2024 di Pusat Konvenysen Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
SDG Summit 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula 17 hingga 18 September ini dianjurkan Kementerian Ekonomi bersama bersama Pusat SDG Nasional (PSN) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai rakan strategik.
Sidang Kemuncak SDG 2024 akan menjadi platform bagi pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor untuk berkumpul, berkongsi pandangan dan mengambil langkah substantif ke arah merealisasikan SDG. – MalaysiaGazette